Yousuf Raza Gilani (kiri) bersalaman dengan Ketua Hakim Mahkamah Agung Pakistan, Iftikhar Mohammad Chaudhry dalam satu pertemuan di kediaman Perdana Menteri di Islamabad, baru-baru ini. - AFP |
ISLAMABAD 17 Jan. - Perdana Menteri Pakistan, Yousuf Raza Gilani semalam bersetuju untuk hadir di mahkamah bagi menjawab notis menghina mahkamah yang diserahkan kepadanya kerana gagal membuka semula kes-kes rasuah, termasuk prosiding terhadap Presiden Asif Ali Zardari.
Mahkamah Agung mendapati Gilani menghina mahkamah dan memanggilnya untuk hadir lewat minggu ini.
Tindakan mahkamah itu meningkatkan tekanan ke atas kerajaan Gilani yang kini berada dalam kedudukan lemah ekoran hubungan semakin tegang dengan tentera.
Sesetengah penganalisis percaya ketegangan tersebut akhirnya boleh menyebabkan Gilani disingkirkan dan pilihan raya awal terpaksa diadakan.
Mahkamah Agung mahu kerajaan menghubungi pihak berkuasa Switzerland untuk menuntut mereka membuka semula kes-kes rasuah terhadap Zardari, termasuk dakwaan pengubahan wang haram berjumlah berjuta-juta dolar selepas tempoh pengampunan tamat pada akhir 2009.
Hakim Nasir-ul-Mulk semalam berkata, Gilani diarah tampil ke mahkamah itu pada Khamis ini.
Perdana Menteri itu bersetuju untuk hadir semasa berucap di Dewan Perhimpunan Kebangsaan lewat semalam, selepas Parti Rakyat Pakistan (PPP) dan sekutu-sekutunya meluluskan resolusi melahirkan sokongan padu terhadap demokrasi dan institusi demokrasi.
"Mahkamah telah memanggil saya dan saya akan pergi menghadapnya sebagai tanda hormat pada 19 Januari ini," katanya dalam ucapan yang disiarkan secara langsung oleh stesen televisyen Pakistan. - AFP
No comments:
Post a Comment