Pages

Wednesday, January 18, 2012

Tentera Korea Utara terlalu berkuasa - Jong-nam


Gambar yang diambil oleh Agensi Berita Pusat Korea Utara pada 1 Januari lalu merakamkan Kim Jong-Un (tengah) diberi sambutan oleh tentera daripada division kereta kebal Korea Utara di satu tempat yang tidak dikenal pasti. - AFP


TOKYO 17 Jan. - Abang sulung kepada pemimpin baru Korea Utara, Kim Jong-un mendakwa pembaharuan yang diperlukan bagi mencegah keruntuhan ekonomi negara itu akan membawa kepada kejatuhan rejim komunisnya.
Kim Jong-nam, abang Kim Jong-un berlainan ibu, berkata, tentera Pyongyang sudah menjadi begitu berkuasa dan akan campur tangan serta merampas kuasa sekiranya rejim baru itu gagal.
Jong-un mengambil alih teraju pimpinan Korea Utara berikutan kematian bapanya, Kim Jong-il pada bulan lalu.
Kenyataan abangnya itu terkandung dalam sebuah buku tulisan Yoji Gomi, seorang wartawan Jepun yang mendakwa beliau menjalin hubungan erat dengan Jong-nam selepas mereka bertemu di Beijing pada 2004.
Jong-Nam menyifatkan Korea Utara sebagai sangat tidak stabil, dalam wawancara dengan Gomi di wilayah Macau, China pada tahun lepas.
"Bapa saya memerintah negara dengan sokongan tentera tetapi kuasa tentera sudah menjadi terlalu besar, dan sekiranya peralihan pemerintahan berakhir dengan kegagalan, tentera sudah pasti akan menggunakan kuasa sebenar," katanya dalam bahasa Korea.
Dalam buku itu, Jong-nam berkata, ekonomi Korea Utara yang bermasalah dan dikawal oleh kerajaan menimbulkan dilema bagi rejim di Pyongyang.
"Sudah jelas ekonomi akan runtuh tanpa pembaharuan, tetapi pembaharuan akan menyebabkan krisis keruntuhan rejim," kata Jong-nam dalam wawancara panjang lebar sebelum kematian bapanya pada 17 Disember lalu.
Beliau juga mendakwa adiknya yang tidak berpengalaman itu dijangka sekadar menjadi simbol yang diperalatkan oleh elit pemerintah untuk mengukuhkan cengkaman ke atas kuasa.
"Sesiapa yang berfikiran waras akan mendapati sukar untuk menerima pewarisan kuasa melibatkan tiga generasi.
"Saya mempersoalkan bagaimana pewaris muda dengan hanya dua tahun persiapan sebagai pengganti mampu mewarisi kuasa mutlak," katanya kepada Gomi. - AFP

No comments: