TEHERAN 5 Jan. - Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) semalam memperketatkan sekatan ke atas Iran, termasuk mencapai perjanjian awal mengenai sekatan EU terhadap minyak Iran.
Washington mengalu-alukan perjanjian tersebut, yang menurutnya adalah 'hasil rundingan panjang lebar' dengan sekutu-sekutunya dalam EU.
AS turut mengumumkan Setiausaha Perbendaharaan, Timothy Geithner akan melawat China minggu depan untuk membincangkan 'penyelarasan' berhubung sekatan baru AS ke atas bank pusat Iran.
Sekatan berganda Barat terhadap Iran itu adalah tambahan kepada sekatan sedia ada yang dikenakan kerana program nuklear Iran dan yang semakin menjejaskan kestabilan ekonomi negara ini yang bergantung kepada minyak.
Iran meluahkan kemarahan terhadap tindakan yang diambil ke atasnya dengan membuat ugutan terhadap tentera laut AS pada minggu ini.
Para pemimpin tentera dan politik Iran menyelar kehadiran tentera AS di Teluk dan memberi amaran, 'seluruh kekuatan' tentera laut Iran akan dikerahkan jika sebuah kapal pengangkut pesawat udara AS cuba memasuki Selat Hormuz.
Teheran juga mengancam untuk menutup selat tersebut, saluran bagi 20 peratus bekalan minyak dunia, jika negara ini diserang atau eksport minyaknya disekat.
Amaran itu dilaungkan selepas Iran menjalankan latihan perang 10 hari yang termasuk ujian tiga jenis peluru berpandu yang direka untuk menenggelamkan kapal perang musuh.
AS menolak ancaman terhadap tentera lautnya dan bertekad untuk terus menempatkan kapal perangnya di Teluk.
Tekanan ke atas Iran, pengeksport minyak kedua terbesar dalam Pertubuhan Negara-Negara Pengeksport Petroleum (OPEC) selepas Arab Saudi, serta potensi meletusnya konflik ketenteraan antaranya dengan AS menyebabkan harga minyak melonjak. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment