Israel longgar sekatan
Israel membenarkan nelayan untuk menangkap ikan pada jarak 11 km berbanding 5 km sebelum ini. Foto: Getty Images
BANDAR GAZA - Penduduk Palestin, kelmarin, memaklumkan Israel mula melonggarkan sekatan di kawasan sempadan mengikut kandungan perjanjian gencatan senjata yang dipersetujui pada Rabu lalu.

Langkah itu dilihat memudahkan golongan petani melawat kawasan tanaman berhampiran pagar sempadan.

Selain itu, nelayan juga kini boleh menangkap ikan pada jarak 11 kilometer (km) berbanding sebelum ini yang dihadkan hanya 5 km dari tepi pantai.

Bagaimanapun, Pengerusi Kesatuan Nelayan Gaza, Nazar Ayesh melahirkan rasa tidak puas hati kerana jarak tersebut sepatutnya diperluaskan sehingga 37 kilometer.

"Saya menggesa masyarakat antarabangsa untuk campur tangan bagi menghentikan sekatan ini memandangkan Israel hanya memberi sedikit kelonggaran kepada kami," tegasnya.

Berdasarkan data diberikan oleh kesatuan itu, Gaza mempunyai 3,700 nelayan berdaftar yang mengendalikan kira-kira 700 bot.

Susulan daripada rungutan yang diterima daripada beberapa pihak, Mesir dan Israel dijangka mengadakan satu lagi pertemuan pada hari ini untuk membincangkan aspek lain berhubung gencatan senjata tersebut.

Dalam perkembangan lain, sebuah kumpulan pro-Israel bertindak memfailkan petisyen menggesa Amerika Syarikat dan laman Twitter melarang Hamas daripada menggunakan laman blog mikro itu.

Kumpulan Christians United for Israel (Cufi) tersebut mengambil langkah itu kononnya selepas Hamas didakwa menggunakan Twitter untuk menyampaikan perkembangan serangan kepada orang awam. - AFP