GAZA CITY - Selepas lapan hari menjadi sasaran serangan Israel yang meragut 168 nyawa, kehidupan di Gaza kini kembali seperti biasa.   

Berikutan gencatan senjata yang dicapai antara Hamas dan Israel, para nelayan menarik nafas lega kerana perjanjian itu turut menambah keluasan kawasan mereka mencari rezeki sejauh enam batu lagi.

Sebelum itu, mereka hanya dibenarkan menangkap ikan dalam lingkungan kawasan tiga batu di Laut Mediterranean.

Di pasar ikan utama Gaza, peniaga menjual pelbagai jenis ikan dan penduduk berpusu-pusu ke situ untuk membeli ikan kegemaran mereka.

“Ini suatu permulaan yang baik dan kami harap suasana ceria ini akan berkekalan. Tapi, kami memerlukan pemantauan antarabangsa kerana orang Israel tidak menghormati perjanjian berlandaskan undang-undang," kata penjual ikan bernama Khaled Shamalekh.

Beratus ribu rakyat Palestin di Semenanjung Gaza dengan penuh gembira menyambut kemenangan mereka menentang Israel selepas lapan hari menjadi mangsa serangan berdarah.

Satu lagi petanda yang memberi harapan kepada rakyat Palestin ialah apabila para petani dan orang ramai kini boleh menghampiri pagar keselamatan yang memisahkan Israel dan Semenanjung Gaza.

Mereka berdiri berhampiran tentera Israel sambil menjulang sepanduk yang menggambarkan kemenangan mereka serta meneriakkan slogan penentangan.

Hasil daripada perjanjian gencatan senjata itu, rakyat Palestin kini mempunyai hak untuk bekerja berhampiran kawasan sempadan Israel-Palestin.

Kanak-kanak kembali bersekolah setelah 10 hari tidak dapat berbuat demikian, walaupun mereka belum menerima sebarang bantuan pemulihan psikologi.
  
Sesetengah kanak-kanak memulakan hari pertama mereka kembali bersekolah dengan meninjau keadaan bangunan yang rosak akibat serangan udara Israel.

“Mereka mahu kami hidup dalam kebodohan dan sebab itulah mereka memusnahkan sekolah kami.

"Walaupun mengalami pelbagai kemusnahan, kami harap suatu hari nanti, kami akan mendapat kebebasan," kata Rahma Abu Dayer, pelajar perempuan berusia 15 tahun.

Yasser Fathi, yang bertugas sebagai wartawan dengan akhbar 'al-Resala', berkata beliau kagum dengan semangat kental yang dimiliki penduduk Gaza.

“Penduduk Gaza mempamerkan contoh unik tentang maruah, keazaman dan penentangan. Saya amat kagum dengan semangat mereka yang begitu tinggi," katanya.

 Kata wartawan ini anggota masyarakatnya mendapat satu pengajaran baharu: mereka perlu berjuang di bawah satu panji-panji iaitu panji-panji Palestin.

“Walaupun ramai yang terkorban, menjadi mangsa serangan bom yang dahsyat dan mengalami kemusnahan teruk, mereka tetap bersedia untuk terus berkorban. Mereka tidak menuntut gencatan senjata ini diadakan dan mereka yakin sepenuhnya bahawa tanah air adalah lebih daripada harta benda, nyawa dan kemusnahan," katanya.

Penduduk Gaza juga berharap serangan Israel baru-baru ini akan mempercepatkan tercapainya perdamaian antara dua puak yang bertelagah - Fatah dan Hamas.

“Kita hanya boleh menghadapi musuh kita jika kita berstu. Sekiranya dua puak bersenjata ini bersatu dan menentang musuh, mereka akan menang," kata Ahmed Mezhar, yang bertugas di Kementerian Ekonomi.- Bernama