Pages

Friday, August 10, 2012

Pesan TV dapat raifal




         
WASHINGTON: Polis di bandar raya ini semalam menyiasat bagaimana seorang penduduk tempatan yang memesan set televisyen warna melalui Amazon.com, sebaliknya mendapat raifal separa automatik yang berkuasa tinggi.

Seth Horvitz yang tinggal di timur laut ibu negara Amerika Syarikat itu berkata, dia segera menghubungi polis selepas terkejut khidmat penghantaran bungkusan meninggalkan raifal SIG Sauer ala-tentera, SIG716 di depan pintu apartmennya. “Pada mulanya, mereka (polis) agak keliru. Mereka tidak pernah melihat sesuatu seperti itu,” katanya kepada stesen televisyen tempatan, Fox 5. “Mereka hanya mengambil maklumat saya dan kemudian berkata: “Kami akan uruskan senjata ini kerana menyimpannya di sini menyalahi undang-undang. Ia juga salah untuk dibawa ke dalam kereta, jadi ia tidak boleh dipulangkan,” katanya.


Sementara kotak bungkusan itu dialamatkan kepada Horvitz yang memesan televisyen skrin rata daripada peruncit pihak ketiga melalui Amazon.com, invois di dalam kotak bungkusan menyatakan senjata api itu sepatutnya dihantar ke kedai senjata api di Pennsylvania. Jurucakap Jabatan Polis Washington memberitahu media, kes itu yang berlaku ketika kejadian pembunuhan secara besar-besaran di negara terbabit tercetus kurang daripada sebulan, masih disiasat. - AFP

No comments: