Pages

Friday, August 10, 2012

Morsi pecat ketua perisik




         
KAHERAH: Presiden Mesir, Mohammed Morsi semalam memecat ketua perisikannya, Murad Muwafi, kerana gagal bertindak terhadap amaran Israel mengenai serangan yang akan berlaku, beberapa hari sebelum militan menyerang sebuah pos sempadan di Semenanjung Sinai.

Enam belas anggota tentera terbunuh dalam serangan itu.


Tindakan berkenaan yang dilakukan selepas serangan udara Mesir terhadap militan Sinai juga menggambarkan tindakan berani pemimpin berhaluan Islam itu bagi meredakan kemarahan rakyat mengenai serangan terbabit. Ia menunjukkan tahap kerjasama mengejutkan dengan pemimpin tentera yang berpengaruh yang melucutkan beberapa kuasa penting presiden sejurus sebelum Morsi memegang jawatan pada 30 Jun lalu.

Dalam penyusunan semula besar-besaran, Morsi juga meminta Menteri Pertahanan, Hussein Tantawi menggantikan pemerintah polis tentera, pasukan yang banyak dikerah untuk menangani tunjuk perasaan jalanan sejak penyingkiran Hosni Mubarak 18 bulan lalu.


Aktivis hak asasi manusia menuduh polis tentera bertindak ganas terhadap penunjuk perasaan.


Morsi turut memecat pemerintah pengawal presiden dan melantik ketua baru untuk keselamatan di Kaherah dan pusat keselamatan polis, pasukan separa tentera yang sering digunakan untuk menangani perusuh.

Keputusan itu diumumkan beberapa jam selepas helikopter tentera Mesir melepaskan tembakan peluru berpandu terhadap militan di Sinai, sebahagian daripada apa yang disifatkan oleh tentera sebagai serangan untuk ‘mengembalikan kestabilan dan menguasai semula’ wilayah padang pasir yang bersempadan dengan Israel dan Semenanjung Gaza itu. Penggunaan kekuatan udara itu menandakan peningkatan mendadak dalam peperangan Mesir terhadap militan yang semakin aktif di wilayah pergunungan itu sejak kebangkitan rakyat tahun lalu. - Reuters

No comments: