Beberapa penunjuk perasaan bertempur menggunakan buluh dengan polis antirusuhan semasa satu protes di luar Kompleks Batasan di bandar Quezon, metro Manila, semalam. - Reuters |
Bantahan tersebut diadakan ketika Aquino dijadual menyampaikan ucapan sempena State of the Nation Address (SONA) di bangunan Kongres lewat hari ini.
Pasukan polis menggunakan trak bomba dan penghadang besi untuk menghalang kumpulan penunjuk perasaan berhaluan kiri dan kesatuan sekerja yang berkumpul kira-kira dua kilometer, daripada mendekati Dewan Perwakilan.
Pergelutan antara penunjuk perasaan dengan polis turut dilaporkan berlaku dan kumpulan terbabit kemudiannya bertindak membakar patung menyerupai Aquino dan poster Uncle Sam yang merujuk kepada Amerika Syarikat.
Mereka turut melaungkan slogan 'Singilin! Itakwil!' (tuntut bayaran, tolak) sebagai meluahkan perasaan tidak puas hati terhadap pentadbiran Presiden itu.
Setiausaha Agung gabungan parti politik berhaluan kiri Bagong Alyansang Makabayan, Renato Reyes Jr. berkata, mereka akan berarak tidak kira hujan atau panas bagi memastikan isu hak asasi, kejatuhan ekonomi, kedaulatan dan tanggungjawab mendapat perhatian kerajaan.
"State of Nation yang sebenar perlu didedahkan. Para pekerja, petani, golongan miskin, wanita dan belia akan memastikan hal sebenar didedahkan," katanya.
Sejak memegang tampuk pemerintahan pada 2010, Aquino berdepan kesukaran memerangi masalah rasuah dan kemiskinan di negara ini. - AGENSI
No comments:
Post a Comment