Singapura: Rakyat Singapura yang sering menikmati hidangan burger, kentang goreng dan makanan segera ala-Amerika Syarikat lain berisiko untuk mendapat penyakit kencing manis dan jantung yang membawa risiko maut, menurut hasil kajian antarabangsa.
Pada masa sama, hasil kajian itu yang disiarkan dalam jurnal Circulation menyebut bahawa makanan segera tempatan atau rantau Asia seperti mee atau ‘dumpling’, tidak memberi risiko yang sama. Disebabkan fenomena globalisasi, makanan segera ala-Amerika kini menjadi sesuatu yang biasa bagi kebanyakan penduduk di Asia Timur dan Asia Tenggara. Kajian dilakukan terhadap lebih 60,000 penduduk Singapura berketurunan Cina.
“Banyak masyarakat asing menerima (makanan segera Barat) kerana ia satu petanda mereka membangunkan ekonomi,” kata ketua kajian itu, Andrew Odegaard dari Kajian Kesihatan Awam Universiti Minnesota.
“Makanan Barat mungkin diterima lebih baik dari sudut kebudayaan tetapi daripada perspektif kesihatan ia mungkin kesan buruk,” katanya.
Peserta yang mengambil bahagian dalam kajian ditemubual pada 1990-an dan tabiat pemakanan mereka dipantau selama satu dekad. Mereka berusia antara 45 hingga 74 tahun pada permulaan kajian itu.
Ketika masih dalam tempoh kajian, 1,397 peserta meninggal dunia disebabkan masalah jantung dan 2,252 lagi menghidap kencing manis jenis kedua.
Kajian mendapat, mereka yang makan makanan segera dua kali atau lebih seminggu berisiko 27 peratus untuk menghidap penyakit kencing manis dan 56 peratus berisiko tinggi mendapat sakit jantung berbanding mereka yang makan sedikit atau langsung tidak mengambil makanan segera.
Daripada 811 peserta yang makan makanan segera gaya Barat empat kali atau lebih seminggu, risiko kematian akibat sakit jantung meningkat sehingga 80 peratus.
Hasil kajian itu tidak berubah sekalipun penyelidik mengambil kira faktor lain yang mungkin mempengaruhi kesihatan termasuk umur, jantina, berat, status merokok dan tahap pendidikan.
Selain itu, rakyat Singapura yang makan makanan segera ala Barat kebanyakannya adalah golongan muda, berpendidikan dan aktif secara fizikal dan mungkin tidak merokok berbanding mereka yang terikat dengan diet tradisional.
Reuters
No comments:
Post a Comment