Pages

Tuesday, July 24, 2012

Hormuz tak ditutup: Iran

TEHERAN: Pegawai tinggi tentera laut Iran semalam berkata, tentera negara itu mengawal penuh Selat Hormuz tetapi tidak bercadang menutup laluan satu per lima perdagangan minyak dunia itu.
Pemangku Komander Tentera Laut Pengawal Revolusi Iran, Ali Reza Tangsiri, berkata pihak musuh sering mendakwa negaranya bercadang menutup Selat Hormuz.

“Tetapi kami katakan, tidak bijak menutup selat ini ketika Iran juga menggunakannya,” katanya.
Kenyataan Ali Reza itu dilihat sengaja mengukuhkan tuntutan bahawa Iran mendominasi Selat Hormuz walaupun tentera laut Amerika Syarikat meningkatkan kehadiran mereka di Teluk. Bagaimanapun, Ali Reza tidak memberi sebarang penjelasan lanjut berhubung kenyataannya itu.

Pemerhati menganggap, kenyataan Ali Reza merujuk kepada usaha Iran membina saluran paip minyak untuk pasaran Asia dan membangunkan pelabuhan lain untuk memberi akses langsung ke Lautan Hindi. Ia juga dilihat usaha memberi jaminan kepada pasaran dunia bahawa Iran anggota Opec kedua paling banyak menghasilkan minyak sebelum sekatan baru-baru ini tidak akan mengganggu bekalannya. Harga minyak dunia menjadi tidak menentu ekoran kebimbangan Iran akan menghentikan trafik kapal tangki sebagai tindak balas sekatan dikenakan ke atas negara itu. Selama beberapa bulan, Teheran mengeluarkan ancaman untuk menutup Selat Hormuz tetapi tiada sebarang usaha dibuat bagi menghalang kapal tangki berlayar di situ. - AP

No comments: