Pages

Friday, July 20, 2012

Pakistan berterusan dikecam

Pakistan berterusan dikecam
Rakyat berterusan mendesak menutup laluan sempadan.
ISLAMABAD - Ribuan penyokong kumpulan radikal agama berhimpun semalam, bagi membantah keputusan Pakistan membuka semula laluan penghantaran bekalan kepada tentera Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (Nato) di Afghanistan.

Tunjuk perasaan anjuran Majlis Pertahanan Pakistan dan sekutu parti politik agama itu semakin memuncak dan terbesar sejak minggu lalu.

Pakistan menutup laluan tersebut sejak November lalu, selepas serangan udara Nato, merentas sempadan mengakibatkan 24 tentera Pakistan terbunuh.

Namun, Pakistan membuka semula laluan tersebut pada minggu lalu, selepas Setiausaha Amerika Syarikat (AS), Hillary Rodham Clinton memohon maaf.

Jurucakap Ketua Parti Jamaat-e-Islami, Munawara Hasan berkata, rakyat terus mengkritik keputusan kerajaan membenarkan trak Nato berada di Pakistan.

“Mereka mendesak kerajaan menarik balik keputusan itu bagi mengelakkan Pakistan terheret ke dalam perang di Afghanistan,” katanya.

Hubungan Islamabad-Washington sebelum itu telah pun tegang akibat insiden serangan di sempadan, pembunuhan pemimpin al-Qaeda, Osama bin Laden di negara itu dan kematian tentera Pakistan.

No comments: