Pages

Friday, July 20, 2012

Rohingya adalah rakyat Myanmar - Bangladesh

DHAKA 19 Julai - Menteri Luar Bangladesh, Dipu Moni berkata, etnik Rohingya adalah rakyat Myanmar dan Yangon perlu mengambil semula etnik itu dari negara ini.
Perkara itu disampaikan oleh Moni kepada Duta Myanmar ke Bangladesh, Myo Myint Than dalam satu pertemuan, di sini semalam.
Agensi berita nasional Bangladesh, BSS melaporkan Moni sebagai berkata, Myanmar mempunyai tanggungjawab untuk mengambil balik semua pelarian etnik Rohingya yang kini dipercayai berjumlah kira-kira 500,000 orang di negara ini, bagi mengukuhkan hubungan dua hala.
''Bangladesh akan menawarkan bantuan bagi memulakan proses penghantaran pulang (pelarian Rohingya) yang mengalami jalan buntu sejak beberapa dekad lalu,'' kata Moni.
Statistik rasmi menunjukkan hampir 30,000 pelarian Rohingya berdaftar dan 450,000 pelarian lagi tidak berdaftar, kebanyakannya meninggalkan Myanmar pada awal 1990-an bagi mengelak ditindas oleh Yangon.
Beliau memuji langkah kerajaan Myanmar bagi membendung konflik etnik dan agama di Rakhine sejak beberapa minggu lalu.
Bangladesh menerima tekanan antarabangsa untuk menerima pelarian Rohingya yang melarikan diri dari Myanmar ekoran peningkatan keganasan di wilayah itu. - Agensi

No comments: