Seorang wanita dimasukkan ke unit rawatan rapi dengan kecederaan di kepala dan dada manakala seorang lelaki turut parah dalam kejadian tersebut.
Sekitar 30 pelancong Yahudi lain cedera ringan dalam kejadian yang berlaku di tempat meletak kereta di lapangan terbang tersebut.
Turut terbunuh dalam serangan itu ialah pemandu bas warga Bulgaria dan pengebom berani mati.
Mengulas insiden tersebut, Tsvetanov berkata, pemantauan video di hadapan lapangan terbang dan siasatan gagal mengesan pengebom yang tiba bersama-sama sebilangan pelancong Israel sebelum serangan itu berlaku.
"Kami mendapati terdapat seorang lelaki yang merupakan pengebom berani mati dalam serangan ini. Dia memiliki lesen memandu palsu dari negeri Michigan di Amerika Syarika," kata Tsvetanov kepada wartawan di Lapangan Terbang Burgas, di sini.
"Dia tidak kelihatan mencurigakan. lelaki ini memakai seluar pendek Bermuda dan membawa beg sandang seperti pelancong lain," tambahnya.
Menurutnya, pasukan khas dapat mengambil sampel asid deoksiribonukleik daripada beberapa jari pengebom tersebut dan kini memeriksa pangkalan data dalam usaha mengenal pasti identiti penyerang.
Kejadian berlaku sejurus selepas sejumlah pelancong tiba di lapangan terbang di sini yang menaiki sebuah penerbangan sewa khas dari Israel.
Sebuah bas dua tingkat yang mereka naiki meletup dalam serangan berkenaan.
Mayat bergelimpangan dengan serpihan besi bumbung bas bertaburan di atas jalan manakala asap hitam menjulang ke udara dilihat selepas kejadian.
Bandar ini yang dihuni oleh 200,000 penduduk, terletak di pesisir pantai Laut Hitam di Bulgaria.
Sementara itu Menteri Pertahanan Israel, Ehud Barak berkata, pengeboman kali ini dilakukan oleh pergerakan Hizbollah yang disokong Iran.
"Pelaku serangan ini adalah anggota Hizbollah yang pastinya ditaja oleh Iran," kata Barak dalam satu wawancara dengan stesen Radio Israel.
Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu turut memberi komen dengan menyatakan satu tindak balas akan dilakukan ekoran keganasan tersebut yang didakwa ditaja Iran.
"Semua petunjuk menyebelahi Iran. Hanya dalam tempoh beberapa bulan lalu, kami telah menyaksikan percubaan warga Iran untuk menyerang rakyat Israel di Thailand, India, Georgia, Kenya, Cyprus dan tempat lain," kata Netanyahu dalam satu kenyataan.
Menteri Luar Israel, Avigdor Lieberman menyatakan pasukan Pengawal Revolusi Iran turut terlibat dalam serangan tersebut.
Ia merupakan serangan terburuk yang melibatkan kematian paling ramai warga Israel di luar negara Yahudi itu sejak tahun 2004.
Sementara itu, jurucakap Kementerian Luar Iran, Ramin Mehmanparast menafikan negaranya terlibat dalam serangan tersebut.
Pada Januari lalu, sebuah stesen televisyen Israel melaporkan bahawa pihak berkuasa Bulgaria berjaya menggagalkan percubaan serangan bom yang menjadikan sebuah bas membawa sejumlah pelancong Israel ke sebuah resort ski sebagai sasaran.
Pada bulan yang sama juga, seorang saintis nuklear Iran yang merupakan pengarah sebuah pusat pengayaan uranium terbunuh selepas sebuah bom dilekatkan pada keretanya di Teheran.
Iran mendakwa Israel terlibat dalam pembunuhan saintis tersebut.
- Agensi
No comments:
Post a Comment