Pages

Wednesday, July 4, 2012

Myanmar bebas 46 lagi tahanan

NAYPYIDAW 3 Julai - Myanmar akan membebaskan kira-kira 46 banduan termasuk 20 tahanan politik mulai esok bagi membantu ‘Perdamaian Kebangsaan’, lapor media tempatan, ketika tekanan terus meningkat mendesak tahanan politik dibebaskan.
New Light of Myanmar melaporkan, 37 banduan lelaki dan sembilan banduan wanita akan dibebaskan bermula esok, walaupun ia tidak jelas jumlah sebenar tahanan politik yang akan dibebaskan di bawah program pengampunan yang diumumkan kerajaan Myanmar.
Menurut akhbar itu, keputusan itu dibuat untuk memastikan kestabilan dan kesejahteraan negara, perdamaian kebangsaan serta membolehkan semua pihak mengambil bahagian dalam proses politik.
Kerajaan Myanmar sebelum ini berjanji untuk memberi pengampunan kepada beberapa orang tahanan semasa lawatan pemimpin pembangkang Aung San Suu Kyi ke Eropah pada bulan lepas.
“Kami tidak pasti berapa ramai tahanan politik (yang akan dibebaskan)," kata Suu Kyi.
Januari lalu, Myanmar membebaskan lebih 300 tahanan politik, sebagai langkah mendorong Amerika Syarikat memulihkan hubungan diplomatik dengan Yangon.
Pada sidang media di Yangon, Suu Kyi berkata, dianggarkan 330 tahanan politik masih berada dalam tahanan, walaupun pihak lain meletak angka yang lebih tinggi.
Menurut Kumpulan Pelajar Generasi 88 yang Pro-demokrasi, tahanan yang dibebaskan termasuk aktivis demokrasi Myanmar, Aye Aung.
Aung ditahan pada 1998 dan dijatuhi hukuman penjara selama 59 tahun, bagaimanapun hukuman tersebut dikurangkan kepada 29 tahun. - AFP

No comments: