Pages

Wednesday, July 4, 2012

Iran hukum anggota EU

TEHERAN: Anggota Parlimen Iran menandatangani rang undang-undang bertujuan menghalang kapal tangki minyak yang belayar ke Eropah daripada menggunakan Selat Hormuz.
Tindakan itu ialah bagi menghukum negara Kesatuan Eropah (EU) yang mengenakan sekatan terhadap republik Islam itu.

“Projek ini adalah sebagai tindak balas terhadap sekatan minyak yang dikuatkuasakan oleh Kesatuan Eropah terhadap Iran.
“Selaras dengan rang undang-undang ini, kerajaan berhak menyekat kapal yang membawa minyak ke negara yang mengenakan sekatan terhadap Iran daripada belayar menerusi Selat Hormuz,” kata anggota jawatankuasa Hal Ehwal Luar Parlimen, Ebrahim Agha Mohammadi. Menurutnya, Parlimen akan diminta meluluskan rang undang-undang itu dan menganggapnya sebagai keutamaan.

Sekatan EU terhadap minyak Iran mula dikuatkuasakan Ahad lalu, mencetuskan kemarahan Teheran yang berkata, tindakan itu menjejaskan rundingan dengan kuasa dunia mengenai aktiviti nuklearnya. Pemerhati dan penganalisis pasaran minyak berkata, sekatan itu, bersama-sama dengan sekatan ekonomi Amerika Syarikat yang dikuatkuasakan Khams lalu, menjejaskan eksport minyak Iran.

Separuh daripada pendapatan kerajaan Iran diperoleh daripada eksport minyak.
Agensi Tenaga Antarabangsa berkata, eksport minyak mentah negara itu merosot kepada 1.5 juta tong sehari ketika pasaran bersiap sedia berdepan dengan sekatan itu.

Ia jauh kurang daripada 2.1 hingga 2.2 juta tong minyak sehari yang menurut Iran, masih dijualnya ke seberang laut.
Iran sebelum ini mengancam menutup Selat Hormuz yang menjadi pintu masuk ke negara Teluk yang kaya dengan minyak sekiranya program nuklearnya menjadi sasaran serangan udara Israel dan Amerika Syarikat. - Reuters

No comments: