Pages

Wednesday, July 4, 2012

Bashar kesal jet Turki ditembak



SEBUAH bangunan musnah rosak teruk akibat pertempuran antara tentera Syria dengan kumpulan pemberontak di Homs kelmarin.


DAMSYIK - Presiden Syria, Bashar Al-Assad menyatakan, beliau kesal berhubung insiden sebuah jet pejuang Turki ditembak jatuh oleh tenteranya, lapor sebuah akhbar Turki semalam.
Bashar juga dilaporkan berkata, beliau tidak akan membiarkan ketegangan antara dua negara berjiran itu meruncing sehingga mencetuskan konflik bersenjata.
Syria menembak jatuh sebuah jet pejuang RF-4E milik Turki pada 22 Jun lalu.
Damsyik memberitahu, pihaknya membedil pesawat tersebut selepas mendapati jet itu terbang rendah di ruang udara Syria tetapi Turki mendakwa, pesawatnya di ruang udara antarabangsa dan hanya tersasar ke Syria untuk seketika.
Dalam satu wawancara bersama akhbar Cumhuriyet, Bashar enggan memohon maaf berhubung insiden tersebut. Beliau sebaliknya memberitahu, jet itu ditembak jatuh di Syria dan tenteranya bertindak untuk mempertahankan diri.
Beliau berkata, pesawat itu terbang dalam laluan ruang udara Syria yang pernah digunakan oleh beberapa pesawat Israel pada tahun 2007 ketika rejim Zionis mengebom sebuah bangunan yang sedang dibina di utara Syria.
Agensi nuklear Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan, bangunan tersebut adalah sebuah reaktor hampir siap yang digunakan untuk menghasilkan plutonium bagi kegunaan membuat senjata nuklear.
"Pesawat itu menggunakan laluan sama yang digunakan oleh beberapa jet Israel sebanyak tiga kali pada masa lalu," kata Bashar kepada Cumhuriyet.
"Askar-askar kami menembak jatuh jet tersebut kerana kami tidak dapat mengesan pesawat ini dalam radar dan kami tidak diberitahu tentang penerbangan ini," jelas Bashar.
"Saya 100 peratus berkata bahawa saya berharap kami tidak menembak jatuh jet ini," tambahnya.
Bercakap kali pertama berhubung pelan tajaan PPB bagi peralihan politik di Syria yang kini diguna pakai kuasa dunia pada satu persidangan di Geneva Sabtu lepas, Bashar memberitahu, beliau 'gembira' kerana keputusan berhubung masa depan Syria diletakkan pada bahu rakyatnya.
Pelan tersebut menggesa supaya satu pentadbiran peralihan yang memiliki kuasa eksekutif diwujudkan di Syria.
Namun, ekoran permintaan Rusia, satu jalan tengah dipersetujui dengan Bashar turut dibenarkan menyertai pentadbiran peralihan tersebut manakala anggotanya pula dipilih menerusi persetujuan bersama antara pentadbiran beliau dan pihak penentang.
"Rakyat Syria akan menentukan segalanya," kata Bashar.
Konflik di Syria telah menyebabkan lebih 14,000 orang terbunuh sejak kebangkitan rakyat menentang pentadbiran Bashar bermula pada Mac 2011.
Kebangkitan itu melibatkan pertempuran antara tentera Syria dengan para pemberontak.
Sementara itu, pasukan keselamatan Syria didakwa mengendalikan lebih 24 pusat penyeksaan yang menyaksikan kuku para tahanan dicabut dan arus elektrik dialirkan pada kemaluan mereka serta beberapa bahagian badan yang lain.
Sebuah pertubuhan hak asasi yang beribu pejabat di New York, Human Rights Watch semalam menyatakan, penyeksaan tahanan yang kerap berlaku di pusat-pusat tahan di Syria boleh dianggap sebagai jenayah kemanusiaan.
Justeru, pertubuhan tersebut menggesa masyarakat antarabangsa supaya bertindak bagi menghentikan kekejaman tersebut.
"Penyeksaan dan layanan buruk yang direkodkan Human Rights Watch jelas menunjukkan amalan menyeksa tahanan dilakukan oleh pemerintah sekali gus melibatkan jenayah kemanusiaan," kata pertubuhan berkenaan.
Pertubuhan sama menggesa Majlis Keselamatan PBB merujuk situasi di Syria kepada Mahkamah Jenayah Antarabangsa di The Hague, Belanda.
Badan dunia itu turut digesa mengenakan sekatan terhadap mereka yang mengamalkan dan mengendalikan penyeksaan. - Agensi

No comments: