Pages

Thursday, July 5, 2012

Israel, Amerika sasaran Iran

DUBAI: Iran mengancam memusnahkan pangkalan tentera Amerika Syarikat di seluruh Asia Barat dan mensasarkan Israel dalam masa beberapa minit selepas ia diserang lapor media negara itu, semalam.
Dalam pada itu, Pengawal Revolusi Iran meneruskan ujian peluru berpandu yang masuk hari ketiga.

Israel membayangkan ia mungkin menyerang Iran jika usaha secara diplomatik gagal menghentikan program nuklear Republik Islam itu.
Amerika Syarikat juga membayangkan untuk mengambil tindakan ketenteraan sebagai pilihan terakhir tetapi sering mendesak Israel memberi masa kepada sekatan ekonomi untuk memberi kesan terhadap Iran, “Semua pangkalan berada dalam sasaran peluru berpandu kami dan Israel adalah sasaran baik kami,” kata Pemerintah Bahagian Angkasa Lepas Pengawal Revolusi, Amir Ali Haji Zadeh.

Menurut Amir, 35 pangkalan tentera Amerika Syarikat berada dalam jangkauan peluru berpandu Iran dengan yang paling canggih, menurut pegawai tentera negara itu, boleh menjejaki sasaran sejauh 2,000 kilometer.

“Kami sudah merancang menubuhkan pangkalan dan menempatkan peluru berpandu untuk memusnahkan semua pangkalan Amerika sebaik saja diserang,” katanya.
Tidak dapat dipastikan dari mana Amir memperoleh jumlah pangkalan tentera Amerika Syarikat di rantau berkenaan.

Kemudahan tentera Amerika Syarikat di Asia Barat terletak di Bahrain, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Turki. Amerika Syarikat juga mempunyai kira-kira 10 pangkalan lagi di Afghanistan dan Kyrgyzstan.
Penganalisis Pertahanan sentiasa sangsi mengenai apa yang mereka sifatkan sebagai kemampuan ketenteraan yang sengaja dibesar-besarkan oleh Iran dan berkata, keupayaan negara itu tidak dapat menandingi kecanggihan sistem pertahanan Amerika Syarikat.

Media Iran melaporkan minggu ini, ujian membabitkan puluhan peluru berpandu negara itu dan pesawat tanpa juruterbang yang dibina sendiri Iran berjaya memusnahkan pangkalan udara tiruan. - Reuters

No comments: