Pages

Thursday, July 5, 2012

Amerika mohon maaf

Karachi: Beribu-ribu pemandu trak Pakistan semalam bersedia menyambung konvoi bekalan utama pasukan Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) ke Afghanistan dan menamatkan ketegangan selama tujuh bulan selepas Washington meminta maaf berhubung serangan udara. Pakistan bersetuju membuka semula laluan bekalan utama ke Afghanistan selepas Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton, memohon maaf di atas kematian 24 anggota tentera Pakistan dalam serangan udara November lalu. 
Perjanjian itu menamatkan perbalahan diplomatik selama tujuh bulan yang melihat hubungan Amerika Pakistan, yang goyah berikutan pembunuhan Osama bin Laden, semakin buruk dan menjadi penghalang kepada usaha Amerika dan pasukan NATO di Afghanistan. 

Persetujuan itu, yang diumumkan Clinton selepas bercakap di telefon dengan Menteri Luar Pakistan, Hina Rabbani Khar, berikutan berbulan-bulan sesi rundingan. 

Islamabad, sekutu utama kempen memerangi Taliban, menegaskan Washington perlu meminta maaf berikutan serangan pada November lalu apabila pesawat Amerika tersalah membunuh 24 anggota tentera Pakistan.

“Khar dan saya mengakui kesilapan yang menyebabkan kematian tentera Pakistan. Kami minta maaf di atas kehilangan yang dialami tentera Pakistan. 
“Kami komited untuk bekerja rapat dengan Pakistan dan Afghanistan untuk mengelakkan kejadian ini daripada berlaku lagi,” kata Clinton dalam kenyataan. 

Pakistan mengesahkan ia memutuskan untuk membuka semula laluan ke Afghanistan yang penting ketika tentera Amerika dan NATO mengundurkan tentera dan peralatan dari Afghanistan menjelang tarikh akhir 2014. 

“Pertemuan jawatankuasa pertahanan Kabinet Pakistan memutuskan untuk membuka semula laluan bekalan NATO,” kata Menteri Penerangan, Qamar Zaman Kaira, kepada wartawan di Islamabad. - AFP 

No comments: