SHANNXI – Pegawai-pegawai kerajaan tempatan China memohon maaf kepada seorang wanita yang dipaksa menggugurkan kandungan berusia tujuh bulan.
Pihak berkuasa negara itu turut menggantung tiga pegawai yang bertanggungjawab melakukan pengguguran tersebut.
Pengguna laman web terkejut apabila melihat gambar menunjukkan janin dan ibu terbabit, Feng Jiamei.
Menurut pegawai tempatan, selepas disiasat, dia telah menjalani prosedur berkenaan di wilayah Shaanxi ketika hamil tujuh bulan.
Undang-undang di China jelas melarang pengguguran janin apabila kandungan melebihi tujuh bulan.
Kerajaan tempatan bandar Ankang berkata mereka memutuskan untuk menggantung tiga orang pegawai di Zhenping.
Pihak berkuasa turut mengadakan siasatan susulan.
Mereka juga menggesa kerajaan di daerah tersebut menjalankan siasatan menyeluruh berkenaan operasi perancangan keluarga, lapor media Xinhua.
Laporan turut memetik yang pegawai bandar raya itu telah memohon maaf kepada Jiamei, 27, dan keluarganya, Khamis lalu.
Menurut media, ibu muda itu dipaksa melakukan proses pengguguran di sebuah hospital di Zhenping pada 2 Jun lalu.
Pegawai di daerah berkenaan mendakwa dia bersetuju untuk melakukan pengguguran kerana telah memiliki seorang anak perempuan yang dilahirkan pada 2007 dan mengikut undang-undang, dia tidak dibenarkan memiliki anak kedua.
Tetapi aktivis berkata, dia dipaksa melakukan pengguguran kerana tidak mampu membayar denda.
Kumpulan hak asasi berkata, dasar satu anak China bermakna wanita dipaksa melakukan pengguguran.
“Cerita Feng Jiamei ini menunjukkan yang Dasar Satu Anak berterusan dan membenarkan penganiayaan terhadap wanita setiap hari,” kata Chai Ling yang merupakan aktivis kumpulan pertubuhan wanita yang berpangkalan di Amerika Syarikat.
Aktivis kumpulan tersebut turut bercakap dengan suaminya, Deng Jiyuan selepas kejadian tersebut dan menurutnya, isterinya telah dipaksa melakukan prosedur berkenaan.
Laporan media turut mendakwa yang Jiamei telah mengalami trauma akibat kejadian tersebut.
Gambar tersebut turut mencetuskan kemarahan di kalangan pengguna dunia siber.
No comments:
Post a Comment