BERLIN - Identiti seorang pemuda misteri yang muncul di Berlin pada tahun lalu dengan mendakwa namanya sebagai Ray dan tinggal di hutan Jerman selama beberapa tahun akhirnya terbongkar.
Pemuda itu mencetuskan misteri pada tahun lalu apabila dia mendakwa keluar dari hutan di Jerman yang menjadi tempat tinggalnya selama beberapa tahun.
Ketika itu, pemuda tersebut menyatakan bapanya telah meninggal dunia dalam hutan.
Namun, polis semalam menyatakan seorang bekas kekasih pemuda tersebut mengenal pasti identitinya sebagai lelaki berusia 20 tahun dari Belanda.
Identiti itu disahkan selepas polis mengedarkan gambar pemuda tersebut untuk mendapatkan maklumat tentang dirinya pada awal minggu ini.
Polis menyatakan pemuda tersebut akhirnya mengaku maklumat yang diberikan oleh bekas kekasihnya itu adalah benar.
Sebelum ini, beberapa orang yang tinggal di bandar Hengelo, Belanda mengenal pasti pemuda tersebut selepas mereka melihat gambarnya yang disiarkan polis Berlin.
Ibu tiri pemuda tersebut dapat mengenalinya selepas melihat gambarnya.
Seorang jurucakap polis di Hengelo, Chantal Westerhoff turut mengenal pasti identiti pemuda tersebut yang kini berusia 20 tahun.
Menurut Westerhoff, pemuda tersebut meninggalkan rumahnya pada September 2011 tanpa memaklumkan kepada bapa atau ibu tirinya yang menyebabkan pasangan tersebut membuat aduan polis berhubung kehilangan anak mereka itu.
Stesen penyiaran NOS Belanda yang mewawancara beberapa rakan pemuda tersebut mendedahkan nama sebenarnya ialah Robin van Helsum.
Dalam kisah yang menarik perhatian dunia itu, pemuda tersebut muncul di bangunan Dewan Bandar Raya Berlin di sini pada 5 September 2011 dan menyatakan bahawa nama pertamanya ialah Ray kepada beberapa orang.
Menurutnya, dia tinggal di hutan bersama bapanya selama lima tahun.
Bertutur dalam Bahasa Inggeris yang diselang seli dengan beberapa perkataan Jerman, pemuda itu memberitahu bahawa bapanya telah mati pada Ogos tahun lalu.
Menurutnya, selepas menanam mayat bapanya di hutan, dia berjalan ke arah utara selama lima hari sebelum tiba di Berlin.
Namun, polis yang tidak menemui mayat bapa budak lelaki tersebut.
Pemuda tersebut tinggal di sebuah institusi kebajikan selepas dia muncul di bangunan dewan itu. - Agensi
No comments:
Post a Comment