Pages

Saturday, June 16, 2012

Rejim Syria guna keganasan seksual dera tahanan

BEIRUT: Kerajaan Syria menggunakan kekerasan seksual bagi mendera lelaki, wanita dan kanak-kanak yang ditahan ekoran konflik politik negara itu, kata Human Rights Watch (HRW) semalam.
Pertubuhan hak asasi manusia berpangkalan di New York itu berkata, mereka menemubual 10 bekas tahanan, termasuk dua wanita, yang mengalami atau menyaksikan penderaan seksual itu di pusat tahanan.

“Ia termasuk rogol, penebusan kemaluan dengan objek, meraba, paksaan berbogel untuk tempoh lama serta serangan ke atas kemaluan,” kata kenyataan dikeluar HRW itu.

Menurut HRW, ramai saksi mendakwa mereka ditahan atas sebab terbabit dalam aktiviti politik yang tidak sehaluan dengan pemerintah, manakala sebahagian lain tidak tahu pun mengapa mereka ditangkap pihak berkuasa.

Sama ada disebabkan faktor politik atau tidak, Pengarah HRW Timur Tengah, Sarah Leah Whitson, berkata tahanan terbabit tetap mengalami penderaan seksual.

“Keganasan seksual adalah satu daripada taktik kejam kerajaan Syria menyeksa rakyatnya.


“Pasukan keselamatan sering menggunakan kaedah itu untuk menghina tahanan mereka,” katanya.

Menurut Sarah, serangan seumpama itu berlaku tidak terhad dalam kawasan tahanan.

“Pasukan keselamatan dan militia kerajaan juga menyerang wanita dan remaja perempuan ketika membuat pemeriksaan di rumah orang awam,” katanya. - AFP

No comments: