Pages

Saturday, June 16, 2012

Bangladesh tolak pelarian Myanmar

AKTIVIS dan  beberapa pemimpin pertubuhan Islam membantah pembunuhan Muslim Rohingya di Paltan, Dhaka, semalam.

AKTIVIS dan beberapa pemimpin pertubuhan Islam membantah pembunuhan Muslim Rohingya di Paltan, Dhaka, semalam.
DHAKA: Bangladesh menegaskan bahawa negara itu tidak akan membuka sempadan kepada mangsa perbalahan kaum yang melarikan diri dari Myanmar walaupun menerima rayuan masyarakat antarabangsa. 

Sekurang-kurangnya 21 orang terbunuh dalam pertelagahan antara penduduk Islam dan Buddha di negeri Rakhine, yang bersempadan dengan Bangladesh. Keganasan tercetus berikutan satu kejadian rogol dan bunuh seorang wanita pada 28 Mei yang didakwa dilakukan tiga penduduk Islam.
Amerika Syarikat dan kumpulan hak asasi kemanusiaan antarabangsa menggesa Dhaka membenarkan mereka yang melarikan diri daripada keganasan itu memasuki negara terbabit.
“Saya akan meminta mereka untuk menggesa kerajaan Myanmar mengambil langkah menamatkan krisis dalaman jika mahukan penyelesaian kepada masalah itu,” kata Menteri Luar Bangladesh, Dipu Moni kepada parlimen kelmarin. 

Beliau menggesa pertubuhan itu menyediakan bantuan secara langsung kepada Myanmar di mana Presiden Thein Sien mengisytiharkan satu perintah darurat pada hujung minggu, meletakkan negeri dengan masalah itu di bawah perintah berkurung. 

Bangladesh menempatkan 200,000 penduduk Islam Rohingya yang melarikan diri dari Rakhine, sebelum ini dikenali sebagai Arakan lebih dua dekad lalu dan tidak akan menerima lagi, kata Dipu Moni. 

Ketua pentadbiran daerah sempadan Cox’s Bazar, Mohammad Joynul Bari berkata pihak berkuasa baru-baru ini menghalang tujuh bot yang membawa penduduk Islam Rohingya memasuki Bangladesh. 
Sementara itu, seorang pegawai kanan tempatan di Sittwe berkata, lebih 30,000 orang hilang tempat tinggal berikutan pertempuran di barat Myanmar. 

“Hampir 31,900 penduduk ditempatkan di 37 buah kem sepanjang Rakhine,” kata menteri hal ehwal sempadan dan keselamatan, Kolonel Htein Lin, sambil menambah bahawa kestabilan dikembalikan di Sittwe. 

Katanya seramai 329 orang, 16 penduduk Islam dan 13 etnik Buddha Rakhine terbunuh sejak Jumaat lalu, dengan ramai lagi cedera dan hampir 2,600 rumah dibakar di seluruh negeri itu. 

Kenyataan beliau dibuat pada satu sidang akhbar pertama oleh pihak berkuasa di Sittwe sejak rusuhan merebak Jumaat lalu. Penduduk Buddha dan Rohingya saling menyalahkan sesama mereka mengenai serangan itu. 

Diskriminasi sejak beberapa dekad menyebabkan penduduk Islam Rohingya tidak mempunyai negeri dan disifatkan PBB sebagai minoriti yang paling tertindas di dunia. 

Kira-kira 800,000 penduduk Rohingya tinggal di Myanmar kebanyakannya di Rakhine. – Agensi

No comments: