Pages

Saturday, June 30, 2012

Presiden Mesir Mohammed angkat sumpah hari ini

Presiden Mesir Mohammed angkat sumpah hari ini - Global - Sinar Harian:

mesir
Presiden Mesir, Mohammed Morsi (kanan) yang baru dipilih menyampaikan ucapan sulung beliau di Dataran Tahrir, Kaherah semalam. Beliau dijadual mengangkat sumpah hari ini. - Foto
KAHERAH - Mohammed Morsi,  Presiden Mesir yang baru dipilih, menyampaikan ucapan sulung di Dataran Tahrir di sini semalam sambil menyifatkan rakyat merupakan sumber kepada autoriti beliau selaku pemimpin pertama dipilih secara demokratik.
Katanya, revolusi, yang menyaksikan kejatuhan kepimpinan Presiden Hosni Mubarak awal tahun lalu, harus diteruskan sehingga kesemua matlamat dicapai.
"Seluruh negara mendengar saya," kata beliau. Mohammed akan mengangkat sumpah hari ini.
Mohammed menegaskan, "saya berjanji saya tidak akan menyerahkan sebarang kuasa yang telah diberikan kepada presiden" - kata-kata yang dilihat merujuk secara langsung kepada Majlis Agung Angkatan Tentera (Scaf) yang dua minggu lalu mengehadkan kuasa presiden.
Mahkamah pula telah menggantung Parlimen, beberapa hari sebelum keputusan pemilihan presiden diumumkan.
Keputusan rasmi pemilihan pusingan kedua diumumkan Ahad. Beliau memperoleh 51 peratus undi untuk menewaskan bekas Perdana Menteri, Ahmed Shafiq.
Dalam ucapannya, Mohammed sekali lagi berjanji bahawa beliau akan melindungi hak kesemua rakyat Mesir sama ada mereka mengundi beliau ataupun sebaliknya.
"Hak mereka yang mengatakan tidak kepada saya tidak akan dicabut sama sekali," katanya sambil menambah bahawa pemilihan sebagai presiden satu penghormatan ke atas dirinya.
"Saya hargai misi ini," kata beliau.
Laporan CNN menyebut dalam ucapannya, Mohammed juga menyentuh tentang Sheikh Omar Abdel-Rahman, ulama yang cacat penglihatan dari Mesir, yang kini ditahan di Amerika Syarikat (AS) atas kesalahan berkonspirasi dengan pihak yang meletupkan Pusat Dagangan Dunia pada 1993.
Katanya, beliau mahu membebaskan tahanan-tahanan politik termasuk Sheikh Omar.
"Hak mereka di bahu saya dan saya tidak mengetepikan usaha untuk membebaskan mereka," kata beliau yang bertanding mewakili Parti Kebebasan dan Keadilan.
Pemimpin dari Ikhwanul Muslimin ini menambah, beliau tidak akan membentuk sebuah negara Islam fundamentalis.
"Saya akan melaksanakan dan memelihara sistem republik dan keluhuran undang-undang dan kedaulatan akan dipertahankan," kata beliau lagi.

No comments: