Berita Harian Online | Sekutu Gaddafi ditahan, diseksa:
4,000 penyokong bekas pemimpin Libya berada dalam penjara rahsia
NEW YORK: Kira-kira 4,000 orang yang didakwa penyokong bekas diktator Muammar Gaddafi dilaporkan masih ditahan di pusat tahanan militia Libya, kebanyakannya secara rahsia dan ramai yang diseksa, kata seorang wakil Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin.
Ketua misi PBB ke Libya, Ian Martin, berkata perkembangan baik ditunjukkan menjelang pilihan raya demokratik pertama negara itu tetapi penjara militia adalah satu daripada ‘halangan serius’ dalam mewujudkan kedaulatan undang-undang.
“Kes layanan buruk dan penganiayaan tahanan berterusan,” kata Martin kepada Majlis Keselamatan PBB. PBB melahirkan rasa amat bimbang terhadap tiga kematian pada April di sebuah penjara di Misrata yang berada di bawah kuasa kerajaan.
Ada ‘maklumat yang boleh dipercayai’ bahawa kematian itu adalah disebabkan penderaan dan sekurang-kurangnya tujuh yang lain diseksa di penjara yang sama, kata ketua Misi Sokongan di Libya atau UNSMIL itu.
Ada juga dakwaan penderaan di penjara di Tripoli, Zawiya dan Zintan.
PBB berkata pada Oktober seramai 7,000 tahanan, terutama penyokong Muammar Gaddafi ditahan oleh briged kebangkitan yang mengetuai perjuangan menjatuhkan bekas diktator itu tahun lalu.
“Kira-kira 4,000 lagi dianggarkan masih lagi berada di penjara rasmi dan rahsia di seluruh negara di mana kerajaan peralihan secara perlahan-lahan mula berkuasa,” kata Martin.
Beliau berkata kementerian kehakiman kini mempunyai 31 kemudahan tahanan dengan 3,000 banduan, katanya. Tetapi kawalan terhadapnya dikongsi bersama dengan militia yang masih terus berkuasa.
“Menangani amalan ini sepatutnya menjadi keutamaan kerajaan dalam mengejar budaya baru hak asasi kemanusiaan dan kedaulatan undang-undang,” kata Martin.
Kerajaan sementara meluluskan satu undang-undang yang mengarahkan militia merujuk semua kes terhadap penyokong Gaddafi kepada pendakwa pada 1 Julai.
Duta itu juga menyuarakan kebimbangan mengenai beberapa aspek undang-undang baru yang boleh memberikan pengampunan kepada pejuang yang terbabit menumbangkan Gaddafi dan melakukan jenayah terhadap diktator yang dibunuh pada Oktober itu. – AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment