DUNGUN – “Sebelum kejadian, saya dengar bunyi gas bocor sebanyak tiga kali sebelum terdengar bunyi letupan kuat yang menyebabkan saya terpelanting.”
Itu pengalaman ngeri dialami salah seorang mangsa, Mohd. Afendi Yahya, 32, dalam kejadian letupan gas di Loji Pemprosesan Petronas, Kerteh, Kemaman kelmarin yang meragut nyawa rakannya Mohd. Rosli Mansor, 31.
Menurutnya, beberapa saat sebelum letupan kuat itu berlaku, dia berada hanya beberapa meter dari penutup bay hole loji berkenaan iaitu tempat gas itu bocor dan meletup.
Jelas Mohd. Afendi, pada mulanya dia cuba mencari punca bunyi kebocoran gas itu dan apabila bunyi sama berulang sebanyak tiga kali, dia yang dapat menjangkakan sesuatu perkara buruk akan berlaku cuba melarikan diri.
Bagaimanapun, jelasnya, belum sempat dia berbuat apa-apa, satu letupan kuat berlaku diikuti dengan percikan api dan pada masa itu dia tidak menyedari bahawa rakannya terjatuh ke dalam bay hole itu.
“Saya bernasib baik kerana hanya melecur sikit sebab kena percikan api tetapi nasib tak menyebelahi rakan saya,” katanya ketika menghadiri majlis pengkebumian Mohd. Rosli di Kampung Baru Kuala Abang dekat sini, semalam.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment