UMI menunjukkan kain pertunangannya dengan Allahyarham di kediaman rumah tunangnya di Kampung Baru Kuala Abang, semalam. |
Tunang mangsa letupan Loji GPP 3 reda hajat kahwin 12.12.2012 tak sampai
DUNGUN: “Jika ikutkan perancangan kami akan mendirikan rumah tangga pada 12.12.2012 dan persiapan sudah dibuat dengan membeli barang hantaran, tetapi semuanya kini tinggal kenangan.
“Arwah ada membeli dua pasang kain untuk dibuat baju Melayu pada majlis pernikahan dan hari raya nanti, tetapi beliau terlebih dulu pergi meninggalkan kami buat selamanya,” katanya.
Beliau yang bekerja di kedai makan di Jalan Baru Telekom di sini, juga terkilan kerana tidak sempat berbual dengan arwah ketika bertemu dua minggu lalu di tempat kerjanya kerana sibuk melayan pelanggan.
“Saya terkilan kerana ketika kali terakhir bertemu, kami tidak sempat berbual dan arwah hanya memerhatikan saya dari jauh. Sepanjang mengenali arwah sejak lima tahun lalu, arwah seorang yang bertanggungjawab dan mengambil berat serta pandai mengambil hati sekiranya berselisih faham.
“Arwah seorang yang periang, namun berubah menjadi pendiam dan serius ketika berhubung menerusi SMS dua minggu lalu. Saya tidak sangka perubahan sikap arwah memberi petanda beliau akan meninggalkan kami selamanya,” katanya yang bertunang dengan arwah pada 11.11.2011.
Beliau yang tinggal di Kampung Che Lijah, berkata, pemergian bakal suaminya itu cukup dirasai apatah lagi arwah tidak sabar untuk hidup bersama, namun reda dengan ketentuan Ilahi.
Jenazah Rosli selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Kampung Baru Kuala Abang jam 2.30 pagi, semalam.
Rakan sekerja mangsa, Mohd Afendi Yahya, 32, berkata, arwah seorang yang mudah mesra, tetapi sebelum kejadian berubah dan enggan bercakap dengan rakan serta bersendirian pada waktu rehat.
“Pada waktu rehat hari kejadian, arwah memaklumkan yang kakinya gatal-gatal dan mahu bekerja separuh hari dan pulang ke rumah,” katanya yang bersyukur kerana terselamat walaupun turut terperangkap dalam kepulan api sebelum terpelanting akibat letupan itu.
Berita Harian semalam melaporkan, seorang maut manakala sembilan cedera termasuk seorang parah dalam letupan di Loji GPP 3, Kompleks A, PETRONAS, Kerteh jam 3 petang kelmarin.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment