Pages

Saturday, May 12, 2012

Lapan penjenayah perang

Berita Harian Online | Lapan penjenayah perang:
pix_gal0

Tribunal putuskan bekas Presiden Amerika, tujuh sekutu bersalah

KUALA LUMPUR: Tribunal Jenayah Perang Kuala Lumpur (KLWCT) semalam, memutuskan bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), George W Bush dan tujuh sekutunya bersalah dan disabitkan sebagai penjenayah perang kerana melakukan penyeksaan dan kekejaman serta layanan yang tidak berperikemanusiaan ke atas mangsa perang.
Panel lima hakim tribunal diketuai bekas Presiden Mahkamah Rayuan, Tan Sri Lamin Mohd Yunus sebulat suara memutuskan demikian selepas mendapati pihak pendakwaan diketuai Pegawai Pendakwa diketuai Profesor Gurdial Singh Nijar berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.
Dalam penghakiman dibacakan selama sejam setengah, Lamin berkata, pihak pendakwaan membuktikan cabang eksekutif AS diwakili Presidennya (Bush), Naib Presiden, Setiausaha Pertahanan dan peguam mereka secara sedar dan rela hati merancang tidak memberikan layanan kepada tahanan mengikut Konvensyen Geneva.

Katanya, pendakwaan juga membuktikan Bush bersalah dengan mengeluarkan perintah seperti memorandum pada 7 Februari 2002 mengisytiharkan tahanan al-Qaeda tidak termasuk dalam perlindungan konvensyen berkenaan selanjutnya memberikan kuasa supaya mereka menerima layanan yang membawa kepada jenayah perang.

“Bush berniat supaya arahan itu dipatuhi, mengetahui ia memang dilaksanakan dan AS melanggar Konvensyen Penyeksaan 1984 dan Konvensyen Geneva serta gagal untuk campur tangan bagi menghalang pelanggaran itu.

“Tindakan dilakukan semua tertuduh serius kerana ia satu penyeksaan seperti dimaksudkan dalam Konvensyen Penyeksaan. Memorandum daripada Pejabat Peguam Negara bertarikh 1 Ogos 2002 satu kesilapan perundangan dengan menyatakan pemahaman AS bahawa penyeksaan adalah terhad hanya kepada layanan tidak berperikemanusiaan dan kejam secara ekstrem,” katanya. 
Dalam perbicaraan kali ini, Bush dituduh bersama-sama dengan bekas Naib Presiden AS, Dick Cheney, bekas Setiausaha Pertahanan AS, Donald Rumsfeld; bekas Peguam Negara AS, Alberto Gonzales; bekas Ketua Staf Pentadbiran Presiden Bush, David Addington; bekas Penasihat Jabatan Pertahanan AS, William Haynes; bekas Hakim Mahkamah Rayuan AS, Jay Bybee dan profesor Undang-Undang John Yoo, melakukan jenayah penderaan serta jenayah perang.

Empat hakim lain Tunku Sofiah Jewa, Alfred Lambremont Webre, Prof Salleh Buang dan Mohd Saari Yusuf. Peguam Jason Kay Kit Leong bertindak sebagai sahabat mahkamah mewakili Bush dan tujuh lagi.

Dalam perbicaraan selama empat hari bermula Isnin lalu, bekas tahanan Teluk Guantanamo, termasuk tahanan perang Iraq yang didera dan diseksa, iaitu iaitu Abbas Abid, Moazzam Begg dan Jameelah Hameedi memberikan keterangan manakala dua lagi, Ali Shalal dan Rhuhel Ahmed mengemukakan akuan bersumpah masing-masing kepada tribunal.

Sementara itu, Lamin berkata, KLWCT berharap kesemua saksi yang juga mangsa jenayah perang dengan berpandukan kepada keputusan tribunal membawa kes mereka kepada mana-mana negara atau entiti perundangan yang sanggup untuk menjalankan bidang kuasanya bagi menguatkuasa keputusan berkenaan terhadap kelapan-lapan tertuduh dan AS.
'via Blog this'

No comments: