NILAI: Pemandu sebuah bas persiaran yang dalam perjalanan membawa 28 penumpang ke Terminal Tambang Murah (LCCT) Sepang, terbunuh selepas kenderaan itu terbabas dan merempuh pokok di Batu 11, Jalan Gadong Jaya, dekat sini, awal pagi semalam.
Kejadian kira-kira jam 4 pagi itu turut menyebabkan tujuh penumpang, rata-ratanya wanita warga emas cedera termasuk seorang masih kritikal.
Pemandu bas berkenaan, K Gunachandar, 52, maut ketika dalam perjalanan ke Hospital Tuanku Jaafar Seremban (HTJS), dekat sini. Jurucakap polis berkata, bas yang membawa sembilan lelaki dan 19 wanita berusia antara 40 hingga 72 tahun itu dalam perjalanan dari Tampin ke LCCT.
“Setiba di tempat kejadian, pemandu bas dipercayai gagal mengawal kenderaannya di satu selekoh lalu terbabas dan melanggar pokok serta terbalik.
“Mangsa meninggal dunia akibat cedera teruk di kepala dan badan manakala semua penumpang yang cedera dirawat di HTJS termasuk seorang di Unit Rawatan Rapi (ICU),’’ katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kemalangan mengakibatkan bahagian depan bas itu remuk teruk yang terpaksa dipotong pihak bomba untuk mengeluarkan mangsa.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd Yusoff Awang ketika dihubungi mengesahkan kejadian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment