TOKYO 14 Mei - Beratus-ratus etnik Uighur dari seluruh dunia hari ini berkumpul di Jepun dalam satu perjumpaan khas bagi menuntut kemerdekaan daripada China.
Kebanyakan mereka mendakwa menjadi mangsa penindasan dan dipinggirkan di tanah air sendiri, diburukkan lagi dengan migrasi berjuta-juta penduduk keturunan Han ke wilayah Xinjiang yang terletak di barat laut republik itu.
Ketegangan etnik di situ mengundang keganasan di wilayah Xinjiang, yang menjadi kediaman kepada sembilan juta etnik Uighur.
Pemimpin Kongres Uighur Sedunia (WUC) yang hidup dalam buangan, Rebiya Kadeer, akan membuka prosiding dalam perjumpaan keempat badan itu, di sini.
Kadeer yang tinggal di Amerika Syarikat (AS), dijangka memberi penekanan terhadap penindasan ke atas masyarakat Uighur yang disifatkannya bertambah buruk dan meminta komuniti antarabangsa memantau situasi yang sedang berlaku di China.
China sebelum ini menggelar WUC sebagai pertubuhan pemisah dan mengutuk Jepun kerana mengeluarkan visa kepada Kadeer, yang kali terakhir berkunjung ke negara ini pada 2009.
Presiden Persatuan Uighur Jepun, Ilham Mahmut berkata, beratus-ratus etnik itu dari 20 negara akan berkumpul di Tokyo hari ini, bagi menyatakan hak mereka.
Perhimpunan itu dibuat selepas Perdana Menteri Jepun, Yoshihiko Noda bertemu rakan sejawatnya dari China, Wen Jiabao dan Korea Selatan, Lee Myung-Bak dalam satu mesyuarat mengenai kerjasama ekonomi dan reaksi kepada tindakan Korea Utara. - AFP
No comments:
Post a Comment