Pages

Tuesday, May 15, 2012

Pesawat terhempas, 15 maut


Mayat beberapa orang penumpang pesawat Dornier Do 228 milik syarikat penerbangan Agni Air ditemui dekat lokasi nahas di Jomsom, kira-kira 300 kilometer ke barat Kathmandu, semalam. - AFP
KATHMANDU 14 Mei - Seramai 15 penumpang terbunuh, manakala enam terselamat apabila sebuah pesawat yang membawa kumpulan pelancong terhempas berhampiran lapangan terbang di utara Nepal, semalam.
Menurut jurucakap polis, Binod Singh, pesawat Agni Air yang membawa seramai 21 penumpang itu terhempas di Jomsom berhampiran kawasan pergunungan Annapurna.
"Pesawat tersebut dijadual mendarat di lapangan terbang Jomsom, namun ia terlanggar cerun berlumpur dan terhempas.
"Seramai 15 penumpang maut, 13 daripada mereka merupakan warga India manakala dua lagi juruterbang Nepal," katanya, sambil menambah kata, enam penumpang terselamat termasuk seorang pramugari.
Pesawat tersebut digunakan untuk membawa penumpang dari Pokhara ke Muktinath, tempat suci bagi penganut agama Hindu dan Buddha yang terletak di kaki gunung Thorong La Himalayan, kata jurucakap polis Nepal, Rajendra Singh.
"Nahas berlaku berhampiran berek tentera Nepal dan ia memudahkan operasi mencari serta menyelamat," ujarnya.
Pengurus Pemasaran Agni Air, Pramod Pandey berkata, dua warga Denmark merupakan antara penumpang yang menaiki pesawat terbabit.
Nahas tersebut merupakan kejadian kedua terburuk buat Agni Air dalam tempoh tidak sampai dua tahun.
Pada Ogos 2010, seramai 14 terbunuh apabila pesawat Agni Air yang membawa penumpang untuk melihat kawasan Gunung Everest terhempas di Kathmandu akibat cuaca buruk. - AFP

No comments: