Pages

Monday, April 30, 2012

Lebanon rampas tiga kontena senjata

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


DAMSYIK 29 April - Pegawai perisikan Lebanon hari ini menyoal siasat krew kapal Sierra Leone berhubung tuduhan membawa bekalan senjata untuk pemberontak Syria.
Menurut Lebanon, mereka merampas tiga kontena yang sarat dengan senjata berat, peluru meriam, roket, pelancar roket dan beberapa bahan letupan untuk diberikan kepada pemberontak Syria dari kapal yang beroperasi di Libya itu.
Pihak berkuasa Syria sebelum ini berulang kali mendakwa bahawa senjata telah diseludup dari Lebanon untuk disalurkan kepada pemberontak di negara itu.
Sementera itu, tentera kerajaan menembak mati sekurang-kurangnya 10 pemberontak di wilayah Damsyik, semalam, menurut Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia.
Seramai 20 orang awam turut terbunuh, lapan daripada mereka di tengah Hama, dua berhampiran Homs, tiga di Idlib, empat di Aleppo, empat di Damsyik dan seorang di al-Raqqah.
Agensi berita SANA turut melaporkan, tiga tentera dan dua pemberontak maut di bandar Aleppo dalam pertempuran antara tentera dan kumpulan bersenjata.
Kelmarin, Kesatuan Eropah (EU) menyuarakan kebimbangan berhubung potensi tercetusnya perang ekoran gencatan senjata yang berkuat kuasa pada 12 April lalu tercemar setiap hari.
Keganasan terbaru ini berlaku ketika veteran anggota pengaman Norway, Mejar Jeneral Robert Mood dalam perjalanan ke Syria selepas dilantik oleh Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-moon untuk mengetuai misi pemantau. - AFP

Mati kebuluran akibat diet rohani

Mati kebuluran akibat diet rohani - Global - Sinar Harian: "GENEVA - Akhbar Switzerland, Tages-Anzeiger, kelmarin melaporkan seorang wanita di Wolfhalden mati kebuluran gara-gara mengamalkan diet rohani( tidak makan atau minum dan hanya mendapat bekalan nutrien daripada cahaya matahari) pada tahun lalu.

Wanita malang berumur dalam lingkungan 50-an itu dipercayai terpengaruh dengan dokumentari dari Austria memaparkan gaya hidup seorang sami India yang mengamalkan diet rohani tersebut selama 70 tahun.

Akhbar tersebut juga mendedahkan beberapa kes sama melibatkan beberapa individu turut dilaporkan di Jerman, Britain dan Australia."

'via Blog this'

16 maut universiti Nigeria diserang

16 maut universiti Nigeria diserang - Global - Sinar Harian:


6 maut universiti Nigeria diserang
Universiti Bayero

KANO - Sekurang-kurangnya 16 orang terbunuh dalam serangan tembakan dan bom di sebuah universiti di Kano, bandar utara Nigeria hari ini.
Enam lagi berada dalam keadaan serius.
Laporan awal menyebut enam orang terbunuh.
Beberapa lelaki dilaporkan menyerang kampus Universiti Bayero, di mana pengikut agama Kristian mengadakan upacara keagamaan mingguan.
Polis juga dilaporkan sedang memburu lelaki-lelaki yang melakukan serangan.
Tiada kumpulan yang mengaku bertanggungjawab ke atas serangan itu, tetapi Kano terkenal dengan kumpulan Islam, Boko Haram, yang pernah menyerang beberapa gereja sebelum ini.
Serangan hari berlaku di salah sebuah dewan kuliah yang digunakan oleh penganut Kristian.

Doktor cabut semua gigi bekas kekasih

Berita Harian Online | Doktor cabut semua gigi bekas kekasih:
WARSAW : Seorang doktor gigi di Poland berdepan hukuman penjara kerana mencabut semua gigi bekas teman lelakinya selepas lelaki itu meninggalkannya hanya beberapa hari sebelum itu. 

Mangsa, Marek Olszewski, 45, ke klinik gigi tempat bekas teman wanitanya, Anna Mackowik, 34, bekerja akibat sakit gigi kerana menyangkakan wanita itu akan bertindak profesional dan melupakan tindakannya meninggalkannya, lapor akhbar Daily Mail.
Mackowiak memberi Olszewski ubat bius yang kuat dan memberitahu mulutnya akan berasa kebas dan tidak mampu merasa apaapa.
Doktor gigi itu turut membalut dagu Olszewski dengan balutan dan memberitahu bahawa beliau perlu berjumpa pakar. 

Lelaki itu hanya tahu kesemua giginya tiada selepas pulang ke rumah lalu melihat dirinya di cermin dan menyedari wanita itu sudah mencabut semua giginya. 

“Saya tidak meraguinya kerana saya sangkakan beliau akan bertindak sebagai seorang profesional,” kata Olszewki. 

Mackowiak memberitahu Daily Mail bahawa beliau cuba menjadi profesional dan cuba mengenepikan emosinya. 
“Tetapi apabila nampak dia baring di kerusi, saya terus terfikir, ‘dasar si celaka ini’,” kata wanita itu. 

Mackowiak kini berdepan penjara sehingga tiga tahun kerana mencabut kesemua gigi Olszewski. 

Beliau disiasat kerana melanggar amalan perubatan dan mencabul kepercayaan pesakit, lapor akhbar Daily Mail semalam. 

Olszewski terpaksa membelanjakan kos besar untuk menanam gigi semula. 

Tambahan kepada penghinaan kecederaan itu, teman wanita baru lelaki itu turut meninggalkannya dengan alasan tidak mahu bersama dengan lelaki tanpa gigi. – Agensi

Gillard arah Ahli Parlimen terbabit skandal undur diri

Berita Harian Online | Gillard arah Ahli Parlimen terbabit skandal undur diri:


Craig Thomson
Craig Thomson
SYDNEY: Perdana Menteri Australia Julia Gillard semalam berkata beliau sudah meminta ahli Parlimen yang terbabit dalam skandal bayaran kepada pelacur supaya meninggalkan Parti Buruh, satu tindakan yang menggoncang kepimpinan rapuhnya dalam pemerintahan minoriti itu.

Craig Thomson, 48, yang mempunyai kepentingan undi bagi Gillard, didakwa menggunakan kad kredit bekas majikannya untuk membayar pelacur dan menikmati hidangan mewah serta mengeluarkan wang tunai sebelum beliau menjadi Ahli Parlimen.
Gillard berkata, Thomson berkeras menafikan dakwaan itu dan layak dianggap tidak bersalah tetapi beliau membuat keputusan berdasarkan keperluan untuk melindungi reputasi Parlimen.
Saya memaklumkan kepada Thomson bahawa saya sudah memutuskan adalah wajar bagi beliau untuk tidak lagi menyertai mesyuarat Parti Buruh. - Julia Gillard, Perdana Menteri Australia
“Saya memaklumkan kepada Thomson bahawa saya sudah memutuskan adalah wajar bagi beliau untuk tidak lagi menyertai mesyuarat Parti Buruh, iaitu digantung daripada parti ini,” kata Gillard memberitahu wartawan di Canberra.

Perdana Menteri berkata beliau juga meminta Speaker Parlimen Peter Slipper, yang berdepan dengan dakwaan melakukan gangguan seksual terhadap kakitangan lelaki dan menyalahguna perkhidmatan teksi supaya mengundur diri untuk satu jangka masa.

Gillard berkata Thomson dan Slipper, yang juga ahli parlimen bebas, menafikan tuduhan terhadap mereka dan beliau tidak mahu membuat pengadilan awal terhadap mereka tetapi perlu mengambil langkah untuk melindungi maruah kerajaan.

“Saya rasa rakyat Australia dengan penuh minat melihat Parlimen ini dan pada satu masa mereka menyaksikan awan hitam menyelubunginya. 
“Saya mahu memastikan rakyat Australia boleh melihat bangunan, institusi dan rasa hormat terhadap institusi ini,” katanya. - AFP.

Sikap Breivik membimbangkan

Berita Harian Online | Sikap Breivik membimbangkan:

Mehtab Afsar, Ketua Majlis Islam Norway
Mehtab Afsar, Ketua Majlis Islam Norway
Pemimpin Islam kesal pihak berkuasa utama isu mental pembunuh Norway

OSLO: Pemimpin Islam di Norway melahirkan kebimbangan mereka mengenai ideologi anti-Islam Anders Behring Breivik, fanatik berhaluan kanan yang dibicarakan kerana membunuh 77 orang, ditenggelamkan oleh persoalan mengenai keadaan kesihatan mentalnya.
Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai militan anti-Islam itu mengejutkan Norway pada 22 Julai lalu dengan kejadian pengeboman dan tembakan menyasarkan ibu pejabat kerajaan dan kem tahunan remaja Parti Buruh. Sejak dia mengaku melakukan serangan itu, isu utama perbicaraan adalah menentukan sama ada Breivik dalam keadaan benar-benar siuman untuk bertanggungjawab terhadap jenayah dilakukannya.
Dia mahu hapuskan Muslim dan Islam dari Eropah. Kita tidak perlu buang masa menentukan sama ada dia siuman atau gila. - Mehtab Afsar, Ketua Majlis Islam Norway
“Dia mahu hapuskan Muslim dan Islam dari Eropah. Itu mesej utamanya. Kita tidak perlu membuang masa menentukan sama ada dia siuman atau gila,” ketua Majlis Islam Norway, Mehtab Afsar.

Breivik sebelum ini memberitahu mahkamah mangsanya mengkhianati Norway dengan membuka negara itu kepada pendatang. Dia menggesa satu revolusi patriotik bertujuan untuk membawa keluar masyarakat Islam dari Eropah.

Dalam satu manifesto setebal 1,500 muka surat yang dikirimkan melalui internet sebelum serangan, Breivik sering kali memetik penulis blog anti-Islam yang mengatakan penduduk Islam secara perlahan-lahan menjajah Eropah. Tetapi sehingga kini kebanyakan perbicaraan lebih memfokus kepada kesihatan mental berbanding ideologinya.

Sebilangan masyarakat Islam mempersoalkan kesahihan patologi Breivik, mengatakan rakyat Norway lebih mudah dibandingkan dengan pengganas Islam. 
“Tiada siapa mempersoalkan kewarasan Osama bin Laden,” kata doktor yang juga kolumnis akhbar, Usman Rana, selepas solat Jumaat di satu daripada masjid terbesar di Oslo.

Masjid berkenaan dihiasi di luar dan dalamnya dengan jubin biru dan putih serta kaligrafi Arab, dibuka kepada orang ramai dan seorang pemberita dibenarkan memasukinya dengan syarat dia membuka kasut.

“Saya percaya dia waras. Mereka yang berfikir Breivik gila tidak tahu apa-apa mengenai keganasan,” kata Rana. 

Satu daripada dua laporan psikiatri merumuskan Breivik amengalami paranoid skizofrenia, manakala laporan kedua mengatakan dia cukup waras untuk membawanya ke penjara kerana melakukan kesalahan jenayah yang diakui dirinya sendiri. – AP

Gadis tomboi disyaki turut diperkosa

Kosmo! Online - Negara:





KOTA BHARU - Siasatan polis berhubung kes kematian seorang gadis tomboi, Nor Ain Shafnie Mohd. Azizi (gambar) yang mayatnya ditemui dibakar bersama motosikalnya di kawasan ladang kelapa sawit di Jeram Tekoh, Gua Musang minggu lalu percaya mangsa turut dirogol sebelum dibunuh.
Bagaimanapun, polis masih menjalankan siasatan lanjut berhubung perkara tersebut dengan menyoal siasat sembilan suspek termasuk dua wanita yang ditahan berhubung kejadian itu mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan itu.
Kesemua mereka merupakan rakan-rakan Nor Ain Shafnie, 16, dan kebanyakan mereka adalah penagih dadah.
Ketua Polis Kelantan, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman memberitahu, pihaknya tidak boleh mendedahkan lebih banyak maklumat kerana bimbang ia akan mengganggu siasatan.
"Polis mengesyaki gadis berkenaan telah dirogol sebelum dibunuh dan dibakar. Siasatan masih berjalan dan kita tidak boleh dedahkan semuanya," katanya ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di Pasar Siti Khadijah dan Buluh Kubu di sini semalam.

Arab Saudi tutup pejabat kedutaannya di Mesir

Kosmo! Online - Dunia:


PASUKAN keselamatan Mesir berkawal di hadapan pejabat kedutaan Arab Saudi di Kaherah, Mesir sewaktu tunjuk perasaan diadakan bagi menuntut pembebasan peguam hak asasi manusia dari Mesir, Ahmed el-Gezawi yang dituduh menghina keluarga diraja Arab Saudi.



RIYADH, Arab Saudi - Arab Saudi menutup pejabat kedutaannya di Kaherah pada Sabtu lalu dan memanggil balik dutanya sebagai tanda protes terhadap penunjuk perasaan berikutan penahanan seorang peguam hak asasi manusia dari Mesir.
Tindakan tersebut meningkatkan lagi ketegangan di antara kedua-dua buah negara yang sebelum ini sudah pun goyah berikutan kebangkitan rakyat di rantau Arab.
Tindakan diplomatik Arab Saudi yang tidak diduga itu dibuat selepas beberapa ratus orang penunjuk perasaan melakukan protes di hadapan pejabat kedutaan dan konsulat Arab Saudi di Kaherah serta bandar-bandar lain bagi menuntut pembebasan Ahmed el-Gezawi.
Ahli keluarga dan kumpulan hak asasi manusia mendakwa el-Gezawi ditahan kerana dituduh menghina keluarga diraja Arab Saudi. Pihak berkuasa Arab Saudi bagaimanapun menafikannya dan menyatakan el-Gezawi ditahan kerana cuba menyeludup ubat anti-kemurungan ke negara tersebut.
Pemerintah tentera Mesir, Panglima Hussein Tantawi ada meminta Raja Abdullah supaya menilai kembali penahanan el-Gezawi. Raja Abdullah juga dikatakan bersetuju untuk melihat masalah itu demi hubungan baik di antara kedua-dua buah negara yang sudah lama terjalin. - Agensi

348 gadis sambut hari jadi ke-15 beramai-ramai

Kosmo! Online - Dunia:



SEJUMLAH gadis berpakaian gaun tersenyum pada acara sambutan hari jadi beramai-ramai di Bandar Raya Mexico kelmarin.


BANDAR RAYA MEXICO - Seramai 348 orang gadis menyambut hari jadi ke-15 mereka secara beramai-ramai di ibu negara Mexico di sini kelmarin.
Acara meriah yang dikenali sebagai Quinceanera itu diadakan bagi mengisytiharkan kepada masyarakat bahawa mereka telah memasuki fasa usia dewasa.
Pada pesta berkenaan, gadis-gadis sunti itu mengenakan gaun petang berwarna-warni sebelum berkumpul untuk menyertai satu perarakan.
Quinceanera merupakan acara tradisi di Mexico yang bermula sejak era kolonial Sepanyol pada kurun ke-16. - Agensi

Kurang wanita punca skandal seks ejen rahsia AS

Kosmo! Online - Dunia:



GAMBAR pada 3 Mei 2007 menunjukkan seorang ejen Perkhidmatan Rahsia wanita memperkenalkan diri kepada anggota polis di luar kediaman Senator Barack Obama di Chicago, Amerika Syarikat.


WASHINGTON - Skandal seks yang melanda Perkhidmatan Rahsia Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini mendedahkan bahawa pasukan pengawal peribadi Presiden Barack Obama itu tidak mempunyai ramai ejen wanita.
Insiden memalukan itu menjadi petanda bahawa usaha perlu dilakukan bagi mengurangkan perbezaan gender yang kini ketara dalam agensi berkenaan.
"Saya berpendapat akan ada kemajuan sekiranya lebih ramai ejen wanita diambil berkhidmat dalam agensi ini," kata ahli Jawatankuasa Pemantau dan Penambahbaikan Kerajaan daripada Parti Republikan, Carolyn Maloney.
"Ia akan membawa kepada rasa lebih bertanggungjawab dalam kalangan anggota Perkhidmatan Rahsia," tambahnya.
Wanita mewakili 25 peratus dalam tenaga kerja agensi berkenaan dengan hanya 11 peratus daripada mereka terdiri daripada ejen dan pegawai beruniform, jelas jurucakapnya, Ed Donovan.
Angka itu adalah rendah berbanding 19 peratus ejen khas wanita dalam Biro Siasatan Persekutuan (FBI).
Namun, ia lebih ramai daripada ejen khas wanita yang bertugas di Pentadbiran Penguatkuasaan Dadah AS.
"Kami memang mahu merekrut lebih ramai pegawai wanita dalam Perkhidmatan Rahsia AS," kata Donovan. Malah, agensi terbabit secara agresif merekrut dan cuba mendapatkan pegawai wanita dengan cara menyertai pameran kerjaya dan menghantar brosur ke kolej-kolej di AS.
Beberapa ejen Perkhidmatan Rahsia yang tiba di Cartagena untuk melindungi Presiden Barack Obama pada Sidang Kemuncak Negara-Negara Amerika di Cartagena, Colombia 20 April lalu terpaksa dihantar pulang selepas mereka dilaporkan melanggan sekitar 21 orang pelacur. - Agensi

Sunday, April 29, 2012

SteamRail ganti seterika dicipta

SteamRail ganti seterika dicipta - Global - Sinar Harian:


Alat mudah alih ini akan menjimatkan masa pengguna yang sebelum ini terpaksa mengambil masa lama unt
Alat mudah alih ini akan menjimatkan masa pengguna yang sebelum ini
terpaksa mengambil masa lama untuk menggosok pakaian.
LONDON - Kajian menunjukkan setiap keluarga menghabiskan purata 160 jam setahun untuk menggosok pakaian. 
Kini, kerja rumah itu akan menjadi lebih mudah selepas sebuah syarikat di Britain mencipta SteamRail sebagai pengganti seterika yang boleh menghilangkan kedutan 35 pakaian dalam masa sembilan minit.
 
Jurucakap Displaysense, Jim Moody berkata, produk mudah alih itu adalah yang pertama dicipta dan ia juga boleh dilipat selepas digunakan.
 
“Kami mengambil masa lama untuk membangunkan kajian ini supaya ia mampu berfungsi dengan cekap untuk meringankan kerja harian pengguna. Pengguna kini mempunyai lebih masa lapang untuk diri sendiri,” jelasnya lagi.
 
SteamRail yang setanding dengan sistem seterika stim berteknologi akan berada di pasaran dengan harga 234 pound (RM1,157).

‘Latihan’ pelik ragut nyawa perisik

‘Latihan’ pelik ragut nyawa perisik - Global - Sinar Harian: "LONDON - Kematian misteri seorang perisik di dalam beg berkunci hampir menemui jawapan.

 Ini kerana, tuan rumahnya mendedahkan lelaki itu pernah mengikat tubuhnya pada katil untuk melihat sama ada dia boleh melepaskan dirinya atau tidak semasa melakukan ‘latihan’ pelik di rumahnya.

Menurut laporan inkues, kelmarin mayat Gareth Williams, 31, itu ditemui dalam keadaan terikat oleh tuan rumahnya kira-kira tiga tahun sebelum dia ditemui mati pada 2010.

“Kami sedang tidur semasa terdengar jeritan Williams meminta tolong. Dan kami terpaksa menggunakan kunci pendua untuk menyelamatkannya pada masa tersebut,” jelas tuan rumah, Jeniffer Elliot."

'via Blog this'

Mati terhimpit jentera bajak padi

Berita Harian Online | Mati terhimpit jentera bajak padi:

TOM YAAKOB menunjukkan jentera pembajak sawah yang mengorbankan cucunya, di Simpang
Empat Kangkung, Alor Setar, semalam.
TOM YAAKOB menunjukkan jentera pembajak sawah yang mengorbankan cucunya, di Simpang Empat Kangkung, Alor Setar, semalam.
ALOR SETAR: Seorang lelaki maut selepas tersepit jentera pembajak ketika membantu bapanya mengeluarkan kenderaan itu di ruang bawah rumah neneknya di Simpang Empat Kangkung di sini, kelmarin.

Dalam kejadian jam 4.30 petang itu, Mohd Hishammudin Yusoff (gambar kecil), 22, berada di tempat duduk pembajak berkenaan yang terjungkit tiba-tiba menyebabkan mangsa tersepit antara jentera itu dengan lantai rumah neneknya kira-kira 15 minit.
Difahamkan, bapa mangsa, Yusoff Ayob, 59, cuba menurunkan jentera pembajak yang terjungkit itu, namun tidak berjaya kerana berat sebelum bergegas meminta pertolongan penduduk.
Yusoff berkata, beliau tidak menyangka niat baik anaknya yang bekerja sebagai peniaga pasar malam menawarkan bantuan mengeluarkan jentera itu untuk menukar minyak hitam sebagai persiapan membajak sawah berakhir tragedi ngeri.

“Saya berusaha mengeluarkan anak saya yang tersepit dengan bahagian dadanya dihimpit besi jentera dan belakangnya pula kayu lantai.

“Melihat keadaan itu saya bergegas meminta pertolongan dan mangsa berjaya diturunkan dengan bantuan enam jiran dan ketika diselamatkan Mohd Hishammudin sudah tidak sedarkan diri,” katanya.

Yusoff berkata, selepas diselamatkan beliau sempat mengajar anak bongsunya itu mengucap kalimah syahadah sebelum membawanya ke klinik kesihatan berdekatan. 
“Bagaimanapun anak saya disahkan meninggal dunia sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah untuk bedah siasat,” katanya.

Difahamkan, jenazah mangsa dikebumikan jam 11.30 malam kelmarin di Tanah Perkuburan Islam Simpang Empat di sini.

Lelaki kudung henti kahwin selepas 100 anak

Berita Harian Online | Lelaki kudung henti kahwin selepas 100 anak:

DAAD bersama keluarga besarnya dan kini hampir mencapai sasaran memiliki 100 orang anak.
DAAD bersama keluarga besarnya dan kini hampir mencapai sasaran memiliki 100 orang anak.
Daad Murad kahwini remaja 19 tahun untuk capai matlamat 

DUBAI: Lelaki berusia 65 tahun yang dikatakan paling produktif di dunia kini menikmati bulan madu dengan isteri barunya seoang gadis dari Baluchi berusia 19 tahun.
Bapa super Emiriyah Arab Bersatu (UAE), Daad Murad baru-baru ini mengahwini Nadia dari Turbat di Pakistan.
Lelaki itu mendedahkan beliau mengadakan hubungan seks dengan isteri remajanya enam kali sehari dari pagi hingga malam. 

Daad Murad yang kudung sebalah kaki menarik perhatian antarabangsa apabila cerita mengenainya disiarkan dalam muka surat depan majalah Emirates Today. 

Bercakap kepada laman web majalah itu, Daad berkata pengiraan zuriatnya kini menghampiri sasaran 100 orang anak. Bayi perempuan yang baru dilahirkan dalam keluarga itu hanya berusia sembilan bulan dan anak ke-94 dijangka lahir pada November atau Disember tahun ini. 

Daad berharap menjelang tahun depan beliau akan mempunyai 100 anak, satu rekod dunia dan beliau akan berhenti berkahwin dan menghasilkan zuriat. 
“Kiraan bermula dengan anak ke-93. Seramai 15 anak saya sudah berkahwin dan mempunyai anak. Jumlah keseluruhan keluarga adalah 140 orang,” katanya. 

Pemandu trak yang sudah bersara yang menjadi tentera tidak mengingati kesemua anaknya yang terbaru dan berjanji akan kembali dengan maklumat betul. 

“Saya menikmati kehidupan rumah tangga dengan dua lagi gadis dari Baluchi. Seorang sudah berusia 50 tahun, kini sibuk membesarkan empat anak. 

“Majida, seorang daripada isteri dari Baluchistan, kini menikmati limpahan kasih sayang saya. Pada usia 25 tahun, beliau juga bagus tetapi saya menghabiskan kebanyakan masa dengan Nadia serakangkerana beliau muda dan kami baru berkahwin serta tiada anak yang mengganggu. Beliau gembira dan saya mengurangkan masa melawat dua lagi isteri saya,” katanya. 

Bercerita mengenai rahsia kekuatannya, Daad berkata beliau hanya mengambil campuran madu dengan daging burung puyuh kering. 

“Saya tidak percaya dengan pengambilan bahan tambahan untuk seks seperti Viagra dan syukur kepada Tuhan, kerana mempunyai tenaga untuk memuaskan semua isteri saya,” katanya. – Agensi

Kes culik Etan, Madeleine berprofil tinggi

Berita Harian Online | Kes culik Etan, Madeleine berprofil tinggi:


Etan Patz (kiri) dan Madeleine McCann
Etan Patz (kiri) dan Madeleine McCann
Pihak berkuasa masih siasat kejadian 1979, 2007

LONDON: Pihak berkuasa di Amerika dan Britain masih meneruskan usaha mengesan kehilangan dua kanak-kanak mangsa culik walaupun hingga kini tiada petunjuk yang berjaya menjejaki kehilangan mereka.
Di Amerika minggu ini, pasukan forensik menggali sebuah bahagian bawah tanah sebuah bangunan beberapa blok daripada kediaman ibu bapa Etan Patz yang hilang dipercayai diculik 33 tahun lalu pada 25 Mei 1979.
Seramai 800,000 orang hilang setiap tahun, kebanyakannya ditemui selamat, 200,000 daripadanya diculik anggota keluarga, 58,000 lagi dilarikan orang tidak dikenali. - Pusat Kebangsaan Amerika Bagi Kanak-Kanak Hilang dan Mangsa Eksploitasi
Ketika kejadian, Etan dikatakan sedang berjalan bersendirian menuju ke sebuah stesen bas tidak jauh dari rumahnya untuk menuju ke sekolah. Dia tidak pernah ditemui sejak itu.

Kes Etan sudah melalui pelbagai peringkat penyiasatan sehinggalah ia dibuka semula minggu ini, Malangnya ibu bapa Etan kemudian diberitahu bahawa anggota forensik tidak menemui jejak Etan di kawasan itu.

Di Britain, polis menyiarkan imej Madeleine McCann yang hilang dari sebuah hotel di Portugal pada 2007 dan kini berusia sembilan tahun jika dia masih hidup.

Pihak berkuasa menjalankan penyiasatan terperinci selepas ibu bapa Madeileine, Gerry dan Kate McCann membuat rayuan kepada Perdana Menteri agar membantu mencari anak mereka yang hilang. 
Ibu bapa Madeileine sedang berkata bahawa polis Portugal gagal mengendalikan kes itu dan mengabaikan beberapa petunjuk penting ketika kejadian.

Jabatan Polis London menyatakan bahawa peluang untuk Madeileine ditemui hidup masih ada dan maklumat mengenainya sudah dihantar ke Portugal untuk membolehkan keputusan dibuat bagi membuka semula kes.

Kedua-dua kes dianggap berprofil tinggi berikutan kehilangan mereka tanpa jejak dan usaha mencari menemui jalan buntu.

Sementara itu Pusat Kebangsaan Amerika Bagi Kanak-Kanak Hilang dan Mangsa Eksploitasi menyatakan kira-kira 800,000 kanak-kanak di negara itu hilang setiap tahun.

“Ini bermakna seramai 2,000 orang hilang setiap hari, kebanyakannya ditemui selamat, tetapi 200,000 daripada diculik anggota keluarga manakala 58,000 lagi dilarikan orang asing. Seramai 115 kanak-kanak dilaporkan dibunuh, ditahan sebagai tebusan atau dijadikan milik penculiknya.

“Setiap hari beribu-ribu kes kanak-kanak diculik dilaporkan, manakala ibu bapa yang tinggal menunggu dalam kebimbangan,” kata pusat itu dalam satu kenyataan. – Agensi

Ejen pengiring presiden dikenakan peraturan ketat

myMetroEjen pengiring presiden dikenakan peraturan ketat: "WASHINGTON: Diaibkan dengan skandal seks di Colombia, Perkhidmatan Rahsia mengeluarkan garis panduan baru yang menghalang ejen mereka melawat “tempat tidak mempunyai reputasi” atau membawa warga asing ke bilik masing-masing.

Melalui garis panduan “yang dipertingkatkan” itu, ejen yang mengawal presiden juga dilarang mengambil arak dalam tempoh 10 jam sebelum melapor diri untuk bertugas.


Perintah berkuat kuasa serta-merta itu turut mewajibkan setiap rombongan keselamatan diselia pegawai Pejabat Pertanggungjawaban Profesional agensi berkenaan.

Peraturan itu dikeluarkan dua minggu selepas lebih 20 ejen Perkhidmatan Rahsia AS dan anggota tentera yang dihantar ke Cartagena, Colombia, didakwa melanggan pelacur.


Ejen terbabit dihantar ke Cartagena untuk mengiringi lawatan Presiden Barack Obama.


Selain melanggan pelacur, mereka juga didakwa mabuk serta melawat kelab tarian bogel Sejak insiden itu didedahkan, lapan ejen dipecat. - AFP"

'via Blog this'

Arab Saudi terima waris Osama atas faktor kemanusiaan

myMetroArab Saudi terima waris Osama atas faktor kemanusiaan:


RIYADH: Arab Saudi membenarkan tiga balu Osama bin Laden dan anak mereka masuk ke negara itu atas dasar kemanusiaan, lapor akhbar semalam.
Memetik kenyataan pegawai kanan, akhbar berpangkalan di London, Asharq al-Awsat, melaporkan kerajaan yakin waris ketua al-Qaeda itu tidak terbabit dalam operasi kumpulan pelampau.

Menurut sumber, ketiga-tiga balu Osama - dua warga Arab Saudi dan seorang Yaman - tiba di negara itu semalam bersama 10 anak mereka selepas diusir dari Pakistan.
Bagaimanapun, Arab Saudi berdiam diri dalam isu berkenaan dan sehingga petang semalam, tidak membuat sebarang pengesahan mengenai kedatangan waris Osama itu.

Sementara itu, Duta Yaman ke Pakistan, Abdo Abdulrahman, berkata isteri dan anak Osama itu tiba di Arab Saudi pagi semalam.

Katanya, mereka mendarat di Arab Saudi menaiki pesawat peribadi disediakan keluarga Osama. “Isteri muda Osama, Amal al-Sadaa, dijangka pulang ke negara asalnya, Yaman, selepas kerajaan membenarkannya membuat kunjungan singkat ke atas keluarga mentuanya,” katanya. - AFP

Warga Israel diperbodoh

myMetroWarga Israel diperbodoh:

BAITULMAQDIS: Bekas pegawai kanan keselamatan Israel berkata, pemimpin kanan rejim Zionis itu mengelirukan orang ramai mengenai peluang kejayaan serangan ke atas kemudahan nuklear Iran.
Bercakap kepada orang awam di Kfar Saba, pinggir Tel Avis, semalam, Yuval Diskin berkata, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, dan Menteri Pertahanan, Ehud Barak, membuat kenyataan menghangatkan lagi keadaan ketika ketegangan hubungan negara itu dengan Iran terus berlaku.

“Masalah utama saya ialah, saya tidak mempunyai keyakinan terhadap kepemimpinan Israel ketika ini yang pasti membawa kita kepada perang dengan Iran atau kemelut serantau,” katanya.
Kenyataan Diskin itu disiarkan stesen radio tentera dan akhbar popular Israel, Haaretz.

Diskin, 56, bertugas sebagai Pengarah Perkhidmatan Keselamatan Awam atau Shabak (tetapi lebih dikenali sebagai Shin Bet) dari 2005 hingga 2011.

Kata Diskin, dia langsung tidak percaya kepada kepemimpinan Netanyahu atau Barak yang membuat keputusan seolah-olah mereka tahu segala-galanya.
“Percayalah, saya memerhatikan mereka dari dekat.

“Netanyahu dan Barak bukanlah tokoh - pada pandangan peribadi saya - yang boleh dipercayai untuk memimpin Israel.
“Mereka mengelirukan orang ramai dalam isu Iran dengan mendakwa, jika Israel memulakan tindakan ketenteraan, negara itu tidak akan dapat memiliki bom nuklear,” katanya. Menurut Diskin, ramai pakar bersependapat, jika Israel melakukan serangan, ia hanya akan mempercepat Iran dalam perlumbaan memiliki senjata nuklear. Mac lalu, bekas Ketua agensi perisikan Mossad, Meir Dagan, juga secara terbuka menentang rancangan Tel Aviv menggerakkan tenteranya untuk menyerang Iran. - AFP