Pages

Thursday, March 22, 2012

Senussi dihantar ke Libya




TRIPOLI 21 Mac - Mauritania bersetuju untuk mengekstradisi bekas ketua perisikan rejim Muammar Gaddafi, Abdullah al-Senussi (gambar) ke Libya, selepas beliau ditangkap di ibu negara itu, Nouakchott pada minggu lepas.

Jika dilaksanakan, keputusan itu bakal mencetuskan perbalahan antara Libya dengan Perancis dan Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) yang berpangkalan di The Hague, Belanda.

Paris dan ICC turut menuntut Senussi, orang kanan Gaddafi sebelum diktator Libya itu digulingkan dan dibunuh dalam pemberontakan rakyat tahun lalu diekstradisi ke Perancis dan ICC.

"Saya sudah menemui Presiden Mauritania dan beliau bersetuju untuk mengekstradisi Senussi ke Libya.

"Delegasi Libya mengunjungi Senussi di penjara dan mengesahkan identitinya, dan penjenayah tersebut yang kini duduk di dalam penjara di Mauritania akan berada di dalam penjara di Libya tidak lama lagi," umum Timbalan Perdana Menteri Libya, Mustafa Abu Shagour di laman Twitter semalam, dalam kenyataan yang disahkan sebagai rasmi oleh seorang wakil kerajaan Libya.

Sumber keselamatan di Mauritania berkata, perjanjian ekstradisi hampir dicapai (dengan Libya) tetapi mengakui tekanan turut dikenakan oleh Perancis.

"Kami bersetuju untuk menimbangkan permintaan mereka secara positif.

"Perjanjian hampir dicapai tetapi kita perlu berhati-hati kerana Perancis mengenakan tekanan hebat," kata sumber yang enggan dikenali itu.

Katanya, Perancis mendakwa tuntutan mereka patut diberi keutamaan kerana waran tangkap mereka diterima dahulu dan kerana mereka membantu menangkap Senussi.

Senussi yang tidak dapat dikesan selama berbulan-bulan, ditangkap di lapangan terbang Nouakchott lewat Jumaat lalu selepas beliau tiba dari Maghribi. - Reuters

No comments: