JAKARTA - Sebuah bungkusan bom buatan sendiri meletup di luar bangunan Kedutaan Indonesia di Paris, Perancis kata beberapa pegawai semalam.
Bagaimanapun, kejadian itu tidak akan menyebabkan kedutaan tersebut akan ditutup.
"Kami bangsa Indonesia tidak mudah takut. Saya tidak fikir letupan kecil seperti itu akan menghalang kami daripada meneruskan urusan seperti biasa," kata Menteri Luar, Marty Natalegawa.
"Namun, sudah tentu kami akan berwaspada." tambahnya.
Menurutnya, tidak dapat dipastikan sama ada letupan berkenaan disasarkan ke atas Kedutaan Indonesia kerana terdapat beberapa bangunan lain di kawasan sekitarnya.
"Syukurlah, tiada sesiapa cedera dalam letupan ini," katanya.
Beberapa saksi melihat tiga lelaki meninggalkan sebuah bungkusan berhampiran bangunan itu di barat ibu kota Perancis berkenaan sebelum bom buatan sendiri tersebut meletup di luar Kedutaan Indonesia sekitar pukul 5.45 pagi waktu tempatan.
Seorang jurucakap polis di Paris, Jean-Louis Fiamenghi memberitahu pemberita bahawa sebuah beg ditemui di bawah tingkap bangunan kedutaan itu oleh seorang pekerja yang membersihkan tong sampah di jalan raya berhampiran.
"Dia melihat ke dalam beg itu, membukanya dan mengesyaki ia ialah bom kerana melihat sebuah balang dengan sambungan wayar berada dalam beg tersebut. Dia meletakkan beg berkenaan dan menghubungi pihak polis. Letupan kemudian berlaku," kata Fiamenghi.
"Tiada sesiapa cedera tetapi penghuni beberapa flat berdekatan terkejut mendengar bunyi letupan itu," tambahnya.
Setakat ini, tiada pihak mengaku bertanggungjawab melakukan serangan berkenaan tetapi beberapa pegawai Indonesia memberitahu, serangan itu dipercayai tiada kaitan dengan ancaman keselamatan di tanah air.
"Beberapa tahun lalu terdapat juga kes letupan kecil berlaku di luar Kedutaan Indonesia di Paris. Ia didapati tiada kaitan dengan ancaman nasional," menurut Teuku Faizasyah yang merupakan jurucakap Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono .
Kedutaan berkenaan di Paris dan agensi perisikan Indonesia sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa Perancis bagi menyiasat insiden tersebut.
"Duta Indonesia berada di lokasi tetapi tidak dapat menghampiri tempat kejadian. Banyak tingkap yang pecah tetapi belum ada laporan mengenai kecederaan atau kematian yang melibatkan staf Indonesia. Kami sedang menunggu perkembangan kes ini," kata Menteri Koordinasi Keselamatan, Djoko Suyanto. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment