Pages

Friday, February 10, 2012

Serangan babit orang Islam di AS berkurangan


WASHINGTON 9 Feb. - Bilangan serangan keganasan melibatkan penganut Islam Amerika di negara ini didapati menurun dalam tempoh dua tahun berturut-turut, menurut satu kajian oleh Pusat Segi Tiga Keganasan dan Keselamatan Dalam Negeri.

Kajian itu, sekali gus bercanggah dengan amaran yang dikeluarkan anggota Parti Republikan di Kongres berhubung komplot keganasan yang kononnya dirancang masyarakat Islam di negara ini.

Menurut kajian tersebut, hanya 20 individu Islam Amerika yang melancarkan serangan telah ditahan atas dakwaan jenayah keganasan pada tahun lalu, berbanding 26 orang pada 2010 dan 49 individu pada 2009.

Laporan itu menyatakan bahawa sejak peristiwa serangan pada 11 September 2001, seramai 193 penganut Islam ditahan atau disabit kesalahan di bawah akta keganasan.

Penemuan itu menyusul selepas pendedahan tentang pemantauan Jabatan Polis New York terhadap masyarakat Islam di bandar raya itu.

Ia juga dilihat menyokong kritikan yang memberi amaran, pemantauan terhadap penganut Islam Amerika adalah satu tindakan tidak produktif dan ia boleh membuatkan negara ini kurang selamat.

"Keganasan melibatkan orang Islam Amerika didapati hanya mendatangkan ancaman kecil kepada keselamatan awam pada tahun lalu.

"Malah, tiada satu pun daripada 14,000 pembunuhan di Amerika pada tahun lalu disebabkan oleh orang Islam," kata pakar sosiologi Universiti North Carolina, Charles Kurzman, yang menulis kajian tersebut.

Pengarah Pusat Segi Tiga Keganasan dan Keselamatan Dalam Negeri, David Schanzer berkata, kajian itu membuktikan ramalan oleh sesetengah pihak yang menyatakan keganasan melibatkan penduduk Islam Amerika semakin meningkat adalah salah sama sekali.

"Walaupun fahaman radikal dalam negara masih merupakan ancaman utama, individu bersalah pada tahun lalu tidak mempunyai kemahiran dan kurang berhubung dengan organisasi keganasan antarabangsa, berbanding tahun-tahun sebelum itu," katanya. - AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: