Pages

Friday, February 10, 2012

Mesir tetap teruskan siasatan ke atas NGO


KAHERAH 9 Feb. - Mesir tidak akan menghentikan siasatan ke atas dakwaan badan-badan bukan kerajaan (NGO) menerima dana asing untuk mencetuskan huru-hara di negara ini, walaupun Amerika Syarikat (AS) mengancam akan menarik balik bantuan kewangan kepada negara ini.

Perdana Menteri, Kamal al-Ganzouri berkata, Mesir akan terus melaksanakan undang-undang.

''Berhubung kes NGO, kami tidak akan berhenti (melakukan siasatan) kerana bantuan atau apa jua alasan,'' katanya pada satu sidang media.

Washington, sebelum ini memberi amaran tindakan Mesir itu membawa risiko bantuan ketenteraan berjumlah AS$1.3 bilion (RM4.03 bilion) yang disalurkan oleh Amerika Syarikat (AS) setiap tahun akan dihentikan.

Seramai 43 aktivis asing dan tempatan diharamkan meninggalkan Mesir ekoran kes berkenaan yang telah dirujuk ke mahkamah jenayah.

Mesir berkata, pegawai tentera utama AS akan melawat Kaherah dalam tempoh terdekat ini bagi menyelesaikan perkara itu.

Di Washington, Jabatan Negara AS menyatakan pihaknya menerima dokumen rasmi pendakwaan ke atas kumpulan prodemokrasi dan NGO yang menerima dana asing.

AS mahu Mesir membatalkan larangan perjalanan ke atas sekurang-kurangnya 19 rakyat AS yang terlibat dalam kes itu tetapi kerajaan Mesir menyatakan mereka tidak boleh campur tangan dalam siasatan tersebut.

Maklumat terperinci individu dan tuduhan yang dikenakan masih belum diketahui. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: