Pages

Friday, February 10, 2012

Asid borik sejukkan loji nuklear




2012/02/10

PEGAWAI memantau keadaan reaktor No.4 di Fukushima Daini, kelmarin.
PEGAWAI memantau keadaan reaktor No.4 di Fukushima Daini, kelmarin.
TOKYO: Syarikat pengendali loji nuklear, Tokyo Electric Power (Tepco) terpaksa menggunakan asid borik di loji jana kuasa nuklear yang lumpuh di Fukushima semalam untuk menghalang rangkaian tindak balas yang boleh mengakibatkan keadaan di situ menjadi kritikal semula selepas suhu meningkat di dalam salah sebuah reaktor sejak minggu lalu.

Suhu di reaktor Nombor 2 adalah 68.5 darjah Celsius hingga jam 4 petang Selasa, satu penurunan daripada 72.2 darjah jam 5 pagi, kata Osamu Yokokura, jurucakap kemudahan itu.

Suhu reaktor perlu berada di bawah 93 darjah Celsius untuk diklasifikasikan sebagai penutupan sejuk, atau keadaan selamat, yang menurut Tepco dicapai Disember tahun lalu.
Jurutera nuklear menyoal sama ada penutupan sejuk dapat dilaksanakan di Fukushima kerana ia adalah satu proses yang digunakan apabila reaktor ditutup untuk penyelenggaraan biasa atau tujuan lain. Di Fukushima, tiga teras bahan api uranium reaktor terbabit mencair menyebabkan penyebaran radiasi.

“Masih terlalu awal menyatakan loji itu selamat Disember lalu. Mereka mengisytiharkan penutupan sejuk walaupun tiada siapa pasti mengenai di mana lokasi bahan api mencair,” kata Ketua Institut Penyelidikan Tenaga Atom di Universiti Kinki di barat Jepun, Tetsuo Ito.

“Satu insiden sama mungkin berulang semula,” katanya merujuk kepada peningkatan suhu reaktor.

Sejak 1 Februari lalu, suhu di bahagian bawah reaktor No. 2 meningkat lebih 20 darjah Celsius, menurut data syarikat.
Tepco berkata, ia meningkatkan kadar air penyejukan yang disuntik ke dalam unit itu kepada 13.5 meter padu sejam berbanding 10.5 meter padu sejam jam 4.24 pagi Selasa.

“Tepco berada di dalam dilema kerana ketika ia menyuntik lebih banyak air, maka lebih banyak air radioaktif akan terkumpul dalam ruangan bawah tanah bangunan loji terbabit,” kata Ito

Bencana itu menyebabkan sistem penyejukan gagal, menyebabkan pencairan bahan api reaktor, mengeluarkan radiasi dan memaksa pemindahan kira-kira 160,000 penduduk. – Agensi Berita Harian Online | Asid borik sejukkan loji nuklear:

'via Blog this'

No comments: