Pages

Friday, February 10, 2012

Seleweng pasir: 2 ADUN PKR didakwa terlibat


KUALA LUMPUR 9 Feb. - Seperti dijanjikan dalam usahanya membela kematian Datuk Patrick Wong Kie Yik, Raja Petra Kamaruddin hari ini mendakwa pembabitan dua wakil rakyat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), Shuhaimi Shafie dan Amiruddin Shari dalam skandal rasuah pasir di Selangor.

Dakwanya, pembabitan Shuhaimi dalam penyelewengan pasir bermula pada 23 Mei 2009 apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sri Muda itu bertemu wakil syarikat yang terlibat dalam pembinaan Lebuh Raya Lembah Klang Selatan (SKVE) di Hotel Sunway, Seberang Prai.

Jelasnya, memandangkan syarikat itu memerlukan bekalan pasir yang banyak, Shuhaimi telah meminta kertas kerja dihantar kepada Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. (KSSB) dan wakil rakyat itu berjanji akan memberi senarai kawasan pasir yang akan ditender KKSB kepada syarikat berkenaan.

Seterusnya dakwa Raja Petra, pada 2 Julai 2009, Shuhaimi meminta wakil syarikat berkenaan menubuhkan syarikat baru dan melantiknya serta Amiruddin iaitu ADUN Batu Caves sebagai Ahli Lembaga Pengarah dengan elaun bulanan sebanyak RM5,000.

Beliau mendakwa, pada 18 Januari 2010, syarikat baru itu mengemukakan permohonan melombong pasir di kawasan seluas 18 hektar di Dengkil.

"Salinan surat turut diserahkan kepada Shuhaimi dan Amirudin. Bagi tujuan tersebut, Amirudin telah memberi sokongan bertulis (tulisan tangan).

"Satu perkara penting, Shuhaimi dan Amirudin didaftarkan sebagai Ahli Lembaga Pengarah syarikat baru itu pada hari yang sama iaitu 18 Januari 2009 dan ini bukan satu kebetulan," dakwa Raja Petra sebagaimana dipetik dari portal http://www.malaysia-today.net hari ini.

Semalam, beliau mendakwa Patrick dibunuh bagi menutup penyelewengan pasir di Selangor kerana bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia itu yang juga rakan baiknya semasa hayatnya sedang mengumpul maklumat pembabitan pemimpin pakatan pembangkang dalam skandal tersebut.

Ini kerana dakwa Raja Petra, sebulan sebelum kejadian itu, Patrick dan isteri datang menemuinya di United Kingdom dan memohon tempoh sebulan untuk mendiang mengumpul maklumat sebelum segala penyelewengan pasir membabitkan pemimpin pakatan pembangkang didedahkan dalam Malaysia Today.

Patrick sebelum ini dilaporkan terbunuh akibat terjatuh dari balkoni selepas rumahnya dimasuki perompak pada 19 November 2009, tetapi penjenayah hanya melarikan dompet berisi wang tunai AS$300 (RM1,018) serta telefon bimbit milik anak perempuan mendiang.

Dalam perkembangan berkaitan Raja Petra mendakwa, pada 15 Ogos 2009 Shuhaimi meminta RM3,000 untuk kempen pilihan raya dan sehari selepas itu wang tersebut diserahkan sebelum tambahan RM2,000 dibayar pada 25 Ogos 2009 di Hotel Pearl View, Seberang Prai.

Kemudian dakwanya lagi, pada 9 September 2009 Shuhaimi meminta pula RM35,000 dan pada 10 September 2009, pukul 11.25 malam di sebuah restoran nasi kandar di USJ, bayaran tunai sebanyak RM10,000 (permulaan) dibuat.

Raja Petra mendakwa, semua bayaran adalah sebagai dorongan untuk membantu syarikat baru itu mendapat tender pasir daripada KSSB.

"Pada 16 September 2009 pula Shuhaimi meminta supaya elaun beliau sebanyak RM5,000 disediakan dan bayaran perlu dibuat pada majlis berbuka puasa.

"Pada 17 September, majlis berbuka puasa diadakan di Hotel Legend Kuala Lumpur dan sekitar pukul 8.45 malam, bayaran RM5,000 kepada Shuhaimi dan Amirudin dijelaskan sebelum RM10,000 lagi dibayar beberapa hari kemudian," dakwanya.

Sementara itu, Shuhaimi dalam khidmat pesanan ringkas (SMS) kepada Utusan Malaysiamemberitahu beliau akan membuat kenyataan lengkap setelah mengadakan perbincangan dengan peguam berhubung dakwaan penulis blog itu.

Bagaimanapun dalam entri terbaru seperti disiarkan laman blognya, srimuda.blogspot.com hari ini, beliau menyifatkan blog yang menyiarkan dakwaan tersebut amat popular sebagai blog spin atau dalam bahasa kasarnya putar alam.

Blog itu dakwanya, diingati kerana gaya penulisannya yang sudah bertentangan daripada sebelumnya.

''Ada sesuatu yang dikejar penulisnya mungkin. Duit? Kebebasan? Free thinker? Freemason?.

''Kredibiliti penulisnya sudah tidak dipercayai lalu apa perlu saya menjawab pertanyaan yang dikemukakan,'' katanya.

Dalam pada itu, usaha untuk mendapatkan komen Amirudin gagal. Pegawai khas beliau, Saharudin Abu Bakar ketika dihubungi juga enggan memberi sebarang ulasan.

Kerajaan Negeri Selangor pula menggesa polis menyiasat secara profesional dakwaan Raja Petra yang disifatkan serius dan mencurigakan.

Setiausaha Politik kepada Menteri Besar, Faekah Husin ketika dihubungi berkata, ia penting bagi memberi keadilan kepada mangsa dan kerajaan negeri atas pembabitan tidak langsung yang cuba dilakukan Raja Petra.

Utusan Malaysia Online - Berita Utama:

'via Blog this'

No comments: