Pages

Friday, February 10, 2012

Rayuan Saudagar Maut ditolak


NEW YORK 9 Feb. – Mahkamah Daerah Manhattan semalam mengekalkan keputusan bersalah yang diputuskan juri ke atas pedagang senjata api Rusia dikenali sebagai Saudagar Maut, Viktor Bout tetapi menyatakan tempat tahanannya kelihatan ‘teruk’ dan ‘kejam’.

Hakim Shira Scheindlin menolak permohonan peguam bela Bout, 44, untuk membatalkan keputusan bersalah pada November lalu di atas empat tuduhan konspirasi menjual senjata kepada pengganas Amerika Selatan untuk digunakan menembak juruterbang helikopter AS.

Beliau berkata, alasan digunakan dalam permohonan tersebut termasuk dakwaan AS tidak mempunyai bidang kuasa untuk membicarakan Bout, adalah yang sama digunakan dalam perbicaraan sebelum ini.

Bagaimanapun, hakim melahirkan simpati terhadap aduan mengenai keadaan Bout ditahan lebih setahun sejak dia diekstradisi dari Thailand pada lewat 2010 bagi dibicarakan selepas ditangkap dua tahun sebelum itu.

Beliau yang kemudian menetapkan perbicaraan pada Rabu depan berhubung perkara itu, membacakan surat daripada pihak pembelaan menyatakan Bout ditahan dalam satu tempat berasingan tanpa udara segar atau cahaya matahari dan hanya seorang ahli keluarga dibenarkan melawatnya satu kali seminggu serta satu panggilan telefon dalam sebulan.

‘‘Ia kedengaran seperti bukan perkara baik. Ia dilihat sebagai teruk dan kejam. Ia tidak perlu dilakukan. Sesuatu perlu dilakukan mengenainya,’’ katanya.

Penolong Pendakwa Raya AS, Guruanjan Sahni berkata, beliau akan membincangkan isu itu dengan Biro Penjara AS esok untuk melakukan persiapan berhubung perbicaraan tersebut.

Peguam beliau, Albert Dayan berkata, beliau mahu menyelesaikan isu tersebut sebelum keputusan hukuman ke atas anak guamnya itu dibacakan pada 12 Mac ini.

Bout menghadapi hukuman penjara minimum 25 tahun atau paling berat, seumur hidup. – AGENSI

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: