WASHINGTON 12 Jan.- Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS) Amerika Syarikat (AS) menjalankan pemantauan rutin ke atas laman-laman web popular termasuk yang melaporkan berita dan gosip seperti Facebook, Twitter, Hulu, WikiLeaks, Huffington Post dan Drudge Report.
Menurut dokumen kerajaan, satu 'penelitian mematuhi privasi' yang dikeluarkan jabatan tersebut pada November lalu menyatakan, sejak Jun 2010, pusat operasi DHS telah mengendalikan program 'Jaringan Sosial/ Kemampuan Media'.
Ia berperanan menjalankan pemantauan ke atas forum-forum dalam talian yang boleh diakses semua pengguna, blog, laman-laman web awam dan mesej-mesej.
Pemantauan itu dilaksanakan bagi mengumpul maklumat yang boleh digunakan bagi membangkitkan kesedaran tentang situasi tertentu dan mewujudkan satu gambaran operasi umum.
Dalam kata lainnya, tugas itu dilakukan bagi membantu DHS dan agensi-agensi seperti Perkhidmatan Rahsia AS dan Agensi Pengurusan Sulit Kecemasan Persekutuan yang menguruskan respons kerajaan terhadap kejadian tertentu contohnya gempa bumi di Haiti pada 2010.
Seorang pegawai bertanggungjawab dalam tugas itu berkata, pemantauan tersebut dibuat bagi membolehkan pegawai pusat operasi sentiasa berhubung dengan media Internet supaya mereka tahu tentang peristiwa yang berlaku kerana ia mungkin memerlukan respons jabatan.
Dokumen menggariskan program pemantauan itu menjelaskan, semua laman web yang dipantau merupakan yang boleh diakses semua pengguna dan semua data yang diperoleh dalam Internet digunakan untuk mewujudkan kesedaran bagi satu-satu kejadian.
Pegawai DHS itu berkata, peraturan program pemantauan juga menetapkan jabatan tidak akan menyimpan salinan kekal trafik Internet yang dipantaunya.
Bagaimanapun, pusat operasi akan menyimpan maklumat yang diperolehi untuk masa tidak lebih lima tahun. - REUTERSUtusan Malaysia Online - Luar Negara:'via Blog this'
No comments:
Post a Comment