Pages

Friday, January 13, 2012

Budak mandi asid


DERITA...badan, muka dan tangan Ali  berbalut akibat terkena percikan kimia.
DERITA...badan, muka dan tangan Ali berbalut akibat terkena percikan kimia.


JOHOR BAHRU: Seorang kanak-kanak berusia tiga tahun cedera di muka, dada, tangan dan leher akibat terkena percikan sejenis bahan kimia yang ada dalam satu tin logam ditendang kakaknya ketika dua beradik itu melalui sebuah kilang dipercayai beroperasi secara haram di Jalan Meranti 7, Taman Rinting, Masai, di sini.
Dalam kejadian jam 8.30 malam pada 3 Januari lalu, Mohd Ali Baser, anak keempat daripada lima beradik dalam perjalanan ke kedai di kawasan berhampiran bersama kakak sulungnya, Aida, 11 dan kilang itu terletak kurang 100 meter dari rumah mereka.

Wakil masyarakat Sabah di Johor, Alex Puspah yang dimaklumkan kejadian itu oleh keluarga dan jiran mangsa yang menyaksikan insiden berkenaan berkata, akibat percikan cecair berkenaan, muka, dada, tangan dan leher Ali menjadi kehitam-hitaman seolah-olah terbakar.
Menurutnya, ibu Ali, Salbiah Mayong, 32, yang sedang melayan anak bongsu berusia enam bulan terkejut apabila Ali berlari masuk ke rumah sambil menjerit kesakitan.

“Melihat Ali sedemikian rupa, abang mangsa, Ishak yang berusia sembilan tahun segera menyimbah adiknya menggunakan air paip di luar rumah menyebabkan wajah Ali bertukar kemerah-merahan,” katanya,” semalam.

Menurut Alex, saksi kejadian memaklumkan mengenai kejadian itu. Katanya, ketika itu Ali tidak berhenti menangis menyebabkan keluarganya panik manakala bapa kanak-kanak itu, Baser Maid, 33, pergi ke kilang berkenaan untuk menyiasat.
“Saya dimaklumkan, ketika kejadian Aida menendang satu tin dan percikan cecair dalam tin yang diletak di depan kilang itu mengenai Ali. Penduduk pergi ke kilang terbabit dan mereka mengatakan ia bukan petrol seperti sangkaan awal.

“Pekerja warga asing di kilang itu berkata, cecair itu adalah minyak hidrolik,” katanya.
Menurut Alex, keluarga Ali membawanya ke Klinik Penawar Masai sebelum kes dirujuk ke Hospital Sultanah Aminah (HSA).

Ali ditahan di wad HSA selama seminggu sebelum dibenarkan pulang Isnin lalu dan kecederaan dialaminya menyebabkan Ali tidak boleh bercakap selama tiga hari. “Doktor membenarkan Ali pulang namun dia perlu ke HSA setiap hari untuk mencuci kecederaannya. Setahu saya, sejak kejadian sehingga hari ketiga, pemilik kilang dipercayai berusia lingkungan 40-an baru sekali bertemu keluarga mangsa,” katanya.Menurut Alex, selepas kejadian kecoh diperkatakan, barulah pengurusan kilang terbabit datang dan berjanji menanggung semua perbelanjaan, sedangkan sebelum ini mereka tidak pernah pun melawat Ali di HSA, seolah-olah mahu lepas tangan. Alex turut mempertikaikan bagaimana premis itu boleh beroperasi menggunakan bahan kimia berbahaya sedangkan kedudukannya berhampiran kediaman.

“Kilang terbabit dipercayai sudah beroperasi sejak tiga tahun lalu dan jika tiada tindakan tegas dikenakan, saya khuatir kejadian lebih buruk berlaku,” katanya.myMetro | Budak mandi asid:

'via Blog this'

No comments: