Pages

Tuesday, December 13, 2011

Diktator Panama pulang

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:



Manuel Noriega (baju merah) tiba di Penjara Renacer, 25 kilometer ke tenggara Panama City, kelmarin. - AFP


PANAMA CITY 12 Dis. - Bekas diktator Panama, Manuel Noriega kembali ke tanah air, semalam untuk menjalani hukuman penjara di negara ini setelah lebih 20 tahun dipenjarakan di Amerika Syarikat (AS) dan Perancis kerana kesalahan pengedaran dadah dan pengubahan wang haram.

Noriega yang menjadi diktator tentera pada 1983-1989, kini menghadapi tiga hukuman berasingan selepas didapati bersalah dalam perbicaraan tanpa kehadirannya atas jenayah yang dilakukan di Panama, termasuk pembunuhan pengkritik rejimnya.

Bekas jeneral itu tiba di negara ini dengan sebuah pesawat Iberia dari Paris, dengan diiringi pegawai polis, enam pegawai Kementerian Luar, sepasukan doktor dan seorang pendakwa raya.

Dia kemudian diterbangkan dengan helikopter ke penjara El Renacer (Kelahiran Semula) dan dilihat memasuki penjara itu dengan dikelilingi anggota polis bersenjata.

Noriega, 77, akan menjalani tiga hukuman penjara selama 20 tahun kerana penculikan dan pembunuhan tiga penentangnya iaitu seorang doktor dan bekas Timbalan Menteri Kesihatan, Hugo Spadafora pada 1985; Kapten Moises Giroldi pada 1989; dan aktivis kesatuan sekerja, Heliodoro Portugal pada 1970.

"Dia akan dipenjarakan seperti banduan lain, tanpa sebarang keistimewaan, kerana dia mesti menanggung akibat daripada semua jenayah, kerosakan dan penderitaan yang dilakukannya," kata Presiden Ricardo Martinelli, semalam.

Noriega akan menghuni sebuah bilik penjara berukuran 12 meter persegi yang dilengkapi dua tingkap, sebuah katil dan tandas, tetapi tempoh sebenar dia ditahan di situ belum diketahui kerana Panama membenarkan pesalah berusia 70 tahun ke atas menjalani hukuman di rumah.

Dia meringkuk selama 20 tahun di dalam sebuah penjara di Miami, Florida atas kesalahan pengedaran dadah selepas digulingkan, dan kemudian diekstradisi ke Perancis, di mana dia dijatuhi hukuman penjara enam tahun kerana mengubah wang haram bagi kartel dadah Medellin.

Kepulangan Noriega, yang dibiayai oleh Agensi Perisikan Pusat (CIA) dari 1968 hingga 1986 sebelum dia menjadi musuh Washington, mencetuskan spekulasi dia mungkin mendedahkan rahsia mengenai tokoh politik tertentu dan kekayaan yang dihimpunkan semasa rejimnya.

Pemerintahan Noriega berakhir apabila Presiden AS, George H.W. Bush mengarahkan tentera AS menyerang Panama pada 20 Disember 1989, dengan mendakwa tindakan itu perlu bagi melindungi rakyat AS, menjaga keselamatan Terusan Panama yang dibina oleh AS, memerangi kegiatan pengedaran dadah dan mempertahankan demokrasi.

Noriega mencari perlindungan di Kedutaan Vatican tetapi setelah bangunan itu dikepung oleh askar AS, dia akhirnya menyerah diri pada 3 Januari 1990 dan diterbangkan ke AS untuk menghadapi tuduhan mengedar dadah. - AFP

No comments: