WASHINGTON 12 Dis. - Google dituduh menjejaskan keselamatan Amerika Syarikat (AS) dengan membenarkan gambar-gambar pangkalan rahsia tentera yang diambil dari udara ditatap oleh orang ramai menerusi program komputer Maps firma carian Internet itu.
Syarikat itu dikecam oleh pihak berkuasa selepas pengguna laman web sekali lagi mendapati mereka boleh mencari pangkalan tentera dan kemudian memfokus ke lapangan terbang serta pesawat drone tentera dari jarak dekat.
Penemuan sebuah lapangan terbang sulit di Tasik Yucca, Nevada, yang digunakan untuk menguji pesawat drone R-170, model sama seperti yang jatuh ke tangan Iran pada minggu lepas, meningkatkan lagi kebimbangan kerajaan AS.
"Pihak Iran tentunya paling berminat untuk melihat pangkalan operasi kerana mereka akan dapat mengetahui bagaimana kita menjalankan misi pengintipan," kata bekas Kolonel Tentera Udara, Cedric Leighton.
Katanya, Google menyiarkan maklumat yang dahulunya hanya terhad kepada komuniti tentera dan perisikan, menimbulkan cabaran baru bagi agensi-agensi perisikan," kata beliau kepadaFoxNews.com, semalam.
Laman web penerbangan, Flight Global mendakwa menemui lapangan terbang rahsia di Tasik Yucca itu, dengan menunjukkan imej-imej sebuah pesawat drone Predator atau Reaper di landasan yang diambil dari satelit.
"Imej satelit yang diambil pada awal tahun ini dan boleh dilihat menerusi Google Maps, kelihatan menunjukkan sebuah landasan tar sepanjang 1,585 meter dan sebuah pesawat drone Predator atau Reaper yang sedang ditunda," menurut Flight Global.
Butir-butir lapangan terbang yang mempunyai empat hangar itu, termasuk tempat letak kenderaan, pagar keselamatan dan kerja pembinaan yang sedang dijalankan, boleh dilihat dengan jelas.
Gambaran yang begitu terperinci menjadikan amat mudah untuk kuasa asing memeriksa pesawat pengintip AS dengan melihat imej-imej satelit menerusi Google Maps. - Agensi
No comments:
Post a Comment