Pages

Sunday, November 20, 2011

Bahagia anak ramai

KELUARGA BESAR... pasangan Michelle dan Bob bersama anak, menantu dan cucu mereka.
KELUARGA BESAR... pasangan Michelle dan Bob bersama anak, menantu dan cucu mereka.
TERIMA KETENTUAN... walaupun dikurniakan anak ramai, Michelle dan Bob tidak bercadang merancang keluarga dan menerima saja takdir yang mendatang.
TERIMA KETENTUAN... walaupun dikurniakan anak ramai, Michelle dan Bob tidak bercadang merancang keluarga dan menerima saja takdir yang mendatang.

PADA usia 45 tahun, Michelle Duggar memang sibuk menguruskan 19 anak bersama suaminya, Jim Bob, tetapi nampaknya itu tidak menghalang mereka bergembira sekali lagi untuk menyambut cahaya mata ke-20!

Di sebalik usianya yang agak lanjut, Michelle berkata, dia dan Bob tetap teruja dengan berita baik itu.


“Saya tak sangka tuhan akan menganugerahkan kami seorang anak lagi dan kami sangat bersyukur kerananya,” katanya.

Kini hamil tiga setengah bulan dan semakin mengidam makanan masam, Michelle berkata, tidak timbul sebarang kebimbangan terhadap kesihatannya.


Katanya, memanglah kehamilannya yang ke-19 menyebabkan dia mengalami komplikasi tetapi dia yakin masalah itu tidak dihadapi kini.


“Saya kini lebih bersedia dan cergas berbanding 20 tahun lalu.

“Ketika ini saya bersenam lima atau enam hari seminggu,” katanya.


Sebaik saja mengetahui hamil, Michelle mendapatkan pandangan doktor dan dia gembira apabila diberikan lampu hijau bagi tempoh tiga bulan pertamanya.

Kehamilan kali ini juga agak unik kerana Michelle akan bersalin melalui pembedahan Caesarean terancang untuk kali pertama.


Pengalaman pertama Michelle menjalani pembedahan itu ialah ketika melahirkan anak bongsunya, tetapi ia dibuat secara tergempar selepas polis mendapati kelahiran normal terlalu berbahaya untuknya.


Keluarga besar dan terus membesar itu kini menjadi bintang dalam siri realiti televisyen dan penonton baru saja melihat bagaimana pasangan suami isteri terbabit menerima dua cucu.


Anak sulung mereka, Josh, dan isterinya, Anna, dianugerah anak perempuan, MacKynzie, 2, dan Michael, pada musim panas sebelum ini.


Sebelum ini, Michelle dan Bob berkata, mereka tidak akan merancang keluarga, sebaliknya menyerahkan kepada tuhan untuk menentukan berapa ramai anak akan diperoleh.


Tahun lalu, ketika muncul dalam program Today, Michelle berkata, setiap kali melihat anak bongsunya, Josie, dia tidak pernah menutup hati untuk hamil sekali lagi.


“Walaupun kami tahu banyak cabaran dilalui selama ini, kami tidak kesal dan bersedia jika ditakdirkan dianugerah anak lagi,” katanya.


Menurut Michelle, setiap yang berlaku dalam hidup manusia tidak terjadi secara kebetulan.


“Saya tahu ia adalah keajaiban dan kami tidak mengambil mudah setiap yang berlaku,” katanya.


Michelle berpendapat, jika ditakdirkan hamil sekali lagi, dia dan Bob akan menyambutnya dengan penuh kesyukuran.


Katanya, tuhan menentukan sama ada dia mampu hamil atau tidak.


“Kami hanya tunggu dan lihat,” katanya.


Anak bongsu pasangan itu dilahirkan tiga setengah bulan lebih awal daripada sepatutnya selepas Michelle menghadapi masalah pada pundi kencing dan pra-eklampsia.


Ketika itu, Josie hanya seberat 700 gram dan terpaksa melalui beberapa detik cemas, termasuk apabila doktor terpaksa menebuk lubang bagi membolehkan dia membuang air dengan sempurna.


Namun, Josie akhirnya dibenarkan pulang ke rumah dan kini membesar dengan sihat seperti kanak-kanak lain.


Dia bakal menyambut ulang tahun pertama kelahiran bulan depan.


Sementara itu, ditanya bagaimana mereka boleh mendapat begitu ramai anak, Bob berkata, dia dan Michelle pernah menghadiri persidangan bagi mempelajari kaedah membebaskan diri daripada hutang.


Katanya, melalui kaedah yang diajarkan itu, mereka berjaya mengatasi belenggu hutang dan benar-benar bahagia.


Bagi anak-anak Michelle dan Bob, mereka menyangka pasangan itu bergurau apabila diberitahu akan menerima adik baru.


Kata Bob, mereka akan mengetahui jantina anak ke-20 itu menjelang Krismas akan datang.


“Ketika ini, saya dan Michelle berasa seolah-olah menjadi ibu bapa paling bertuah di dunia.


“Anak-anak kami semuanya hebat dan kami bersyukur kepada tuhan kerana anugerah itu.


“Kami tidak mahu menamatkan sesuatu dengan nombor ganjil!” katanya.

myMetroBahagia anak ramai:

'via Blog this'

No comments: