Pages

Sunday, November 20, 2011

Majlis RM15 juta

Nur Shid’la Ahmad Kamarudin
Nur Shid’la Ahmad Kamarudin

SELEPAS puas mencari cinta sejati, akhirnya Nur Shid’la Ahmad Kamarudin (Syella), 26, bertemu jodoh dengan ahli perniagaan. Cinta mereka berputik tanpa dirancang kerana sebelum itu Syella menyulam kasih dengan orang lain.

Menurut Syella yang pernah popular dengan lagu Menangis Dalam Hujan, dia berkenalan dengan suaminya pada 2006 yang mana ketika membuat persembahan pada suatu majlis amal. “Perkenalan saya dengannya bermula selepas selesai majlis amal itu apabila dia antara penganjur program itu ingin membayar duit persembahan.


“Selain mengusahakan butik dan kedai makan, saya juga terbabit dalam perniagaan pembinaan, teknologi maklumat, gas dan minyak serta beberapa cabang perniagaan lain. Lalu kami bekerjasama dan dalam melicinkan urusan perniagaan itu, saya lebih menganggap dia sebagai bos saya.

“Saya banyak kali putus cinta kerana kebanyakan lelaki yang saya temui tidak jujur mencintai saya. Pada masa sama, ramai yang masuk meminang sehingga membuatkan emak risau kerana semua pinangan itu saya tolak. “Emak kata, kalau saya terus menolak pinangan yang datang, dia bimbang saya terus tak kahwin. Jadi emak mahu carikan sendiri calon suami untuk saya kerana dia mahu saya dapat suami yang baik selepas banyak kali ditipu lelaki.


“Sudah tentu saya tak mahu. Perkara itu amat merunsingkan saya lalu pada April lalu saya mengerjakan umrah. Ketika berada di Tanah Suci itu setiap hari saya berdoa semoga dapat suami yang baik, beriman, boleh menjaga saya dan keluarga saya. Di samping itu saya juga mengerjakan solat hajat dan istiqarah. Setiap kali saya solat istiqarah, wajah suami saya sekarang yang sering muncul dalam mimpi.


“Untuk menguatkan lagi jodoh dengannya, sekembalinya dari umrah, saya dapat tahu teman lelaki saya curang. Suami pula meluahkan isi hatinya yang dia sukakan saya,” katanya yang meminta media menghormati permintaannya supaya gambar, status dan siapa suaminya itu dirahsiakan daripada umum.

Menurut Syella, dia boleh dapat rasakan yang orang itu sukakan dia atau tidak termasuklah perasaan suaminya terhadapnya. “Saya bukanlah bodoh sangat untuk menilai orang tetapi saya tak mahu terlalu memikirkannya kerana sibuk dengan kerja. Tetapi kalau sudah jodoh, ia akan bertemu juga. Sebab itu saya tak rasa pelik ketika wajah suami muncul dalam mimpi ketika di Makkah kerana saya tahu dia sukakan saya. “Emak pun merestui niat baik suami kerana emak tahu dia lelaki yang baik. Emak kasihankan saya yang bekerja keras untuk menyara keluarga. Lantaran dengan restu keluarga, kami diijabkabulkan pada September lalu. Majlis resepsi baru saja diadakan pada 11 hingga 13 November lalu di rumah emak di Cheras.


“Dia lelaki yang baik dan sangat menjaga solat. Kami selalu solat berjemaah dan mengaji bersama-sama. Saya rasa sangat bahagia kerana mendapat suami sepertinya. Dia juga mahu saya duduk di rumah saja, biar adik-beradik yang menguruskan perniagaan butik dan kedai makan yang saya usahakan selama ini,” katanya.

Selepas bernikah, mereka terus berbulan madu selama dua minggu di Eropah dan selepas majlis resepsi ini, Syella mahu mengerjakan umrah sekali lagi bersama suami dan membawa ibu bapanya bersama.


“Saya bersyukur kerana doa saya dimakbulkan Allah SWT. Selepas balik umrah juga rezeki saya semakin murah. Dalam mencari calon suami, saya bukan cari yang berharta, yang penting adalah hati budi dan agamanya.


“Sebelum ini ramai yang kata saya berkawan dengan VIP, Tan Sri dan Datuk. Memanglah dalam urusan perniagaan saya berjumpa dengan golongan macam itu tetapi saya tidak pernah ‘berkawan’ dengan mereka.


“Orang kata setiap apa yang orang cakap itu adalah doa dan akhirnya memang betul saya ditemukan dengan suami saya ini,” katanya.


Jangan terkejut kerana majlis perkahwinan Syella menelan belanja RM15 juta termasuk nilai barang hantaran yang diberikan oleh kedua-dua belah pihak. Sebagai tanda kasih suaminya, pada hari berbahagia itu Syella menerima hadiah banglo bernilai RM5 juta, kereta Audi R8 berharga RM800,000, wang hantaran RM111,111, mas kahwin RM1,000, telefon bimbit, set mandian, alat solek, al-Quran, sejadah, telekung dan tasbih.


Tambah Syella, semua barang mewah dan mahal itu bukan dia minta tetapi atas kerelaan suaminya sendiri sebagai bukti cinta buatnya.


“Semua persediaan perkahwinan, saya dan suami sediakan sendiri tanpa tajaan mana-mana pihak. Saya sendiri keluarkan belanja RM800,000 dan selebihnya daripada suami. Saya tak kisah berhabis kerana perkahwinan ini adalah sekali seumur hidup,” katanya. Pada majlis resepsi itu Syella mengenakan dua pasang gaun rekaan Hatta Dolmat yang setiap satunya berharga RM60,000. Ditanya mengapa dia seolah-olah menyembunyikan perkahwinannya itu, Syella berkata, dia tidak pernah berniat untuk berbuat begitu. Jelasnya, memang majlis pernikahannya diadakan dalam majlis tertutup, tetapi majlis resepsinya baru-baru ini dihadiri hampir 3,000 tetamu.


“Saya bukan tidak mahu maklumkan kepada pihak media tetapi rasa saya serba-salah. Saya ini bukannya penyanyi popular, tiba-tiba mahu jemput wartawan datang ke majlis perkahwinan saya, seganlah.


“Sebab itulah saya jemput saudara-mara, rakan-rakan dan jiran-jiran saja. Lagipun majlis itu bukan untuk untuk saya seorang, tetapi turut meraikan perkahwinan dua adik saya ,Efa dan Ijam yang bernikah Oktober lalu,” katanya.

myMetroMajlis RM15 juta:

'via Blog this'

No comments: