MANILA - Peguam bekas Presiden Filipina Gloria Macapagal Arroyo semalam mencabar bidang kuasa sebuah mahkamah di sini yang mengarahkan supaya Arroyo ditangkap kerana menipu dalam pilihan raya.
Kenyataan tersebut dikeluarkan peguamnya, Raul Lambino ketika Arroyo ditahan di Hospital St. Luke di sini untuk hari kedua.
Bekas Presiden berusia 64 tahun itu berdepan hukuman penjara seumur hidup sekiranya didapati bersalah berhubung jenayah tersebut.
Perintah mahkamah dikeluarkan kelmarin kelmarin selepas pemerintah mengemukakan dakwaan Arroyo mengarahkan penipuan dilakukan dalam pilihan raya senator 2007 bagi memastikan kemenangan sekutu-sekutunya.
Lambino berkata, mahkamah akan bersidang esok sama ada untuk membatalkan waran tangkap ke atas Arroyo dengan alasan dakwaan tersebut sepatutnya difailkan di mahkamah lain.
"Kami berpendapat berlaku pelanggaran dalam apsek undang-undang kerana mereka (pemerintah) memfailkan kes ini di mahkamah yang silap," katanya.
Pihak Arroyo terdahulu menyatakan kes itu sepatutnya dikendalikan oleh sebuah mahkamah khas, Sandiganbayan yang mengendalikan kes membabitkan pegawai awam.
"Mahkamah di sini sepatutnya tidak mengeluarkan waran tangkap terhadap Arroyo," tambah Lambino.
Katanya, Arroyo berada dalam keadaan baik selepas beliau ditangkap di hospital terbabit.
Bekas Presiden itu menjalani tiga pembedahan tulang belakang pada tahun ini kerana menghidap sejenis penyakit tulang yang jarang berlaku.
Lambino memberitahu polis akan mengambil cap jari dan merakam gambar Arroyo sebelum perbicaraan kes tersebut esok.
Arroyo, Presiden wanita kedua di Filipina juga merupakan Presiden kedua pernah dibicarakan di negara berkenaan.
Presiden Filipina sebelumnya, Joseph Estrada didapati bersalah kerana salah guna kuasa dalam 2007 tetapi mendapat pengampunan Arroyo 40 hari kemudian.
Bekas Presiden berkenaan memerintah Filipina dari tahun 2001 hingga pertengahan tahun lalu.
Arroyo ditangkap selepas pihak berkuasa menghalangnya daripada meninggalkan Filipina setibanya beliau di lapangan terbang Manila di sini dengan memakai alat penyokong leher kelmarin.
- AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment