Pages

Sunday, November 20, 2011

Bumbung rosak, motosikal tumbang



KEADAAN atap bumbung yang rosak setelah diterbangkan angin helikopter (gambar kecil) di Jalan Bukit Ubi, Kuantan semalam.


KUANTAN – Beberapa premis rosak terutama pada bahagian bumbung gara-gara tempias angin kipas sebuah helikopter milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Pahang di Jalan Bukit Ubi di sini semalam.

Selain itu, papan tanda dan lima buah motosikal yang diletakkan di kawasan itu juga rosak dan musnah akibat perkara yang sama.

Kejadian pada pukul 1 petang itu berlaku apabila pesawat berkenaan didakwa terbang terlalu rendah sehingga menimbulkan ketakutan kepada penduduk yang bimbang ia akan terhempas.

Bagaimanapun, pesawat berkenaan berjaya melakukan pendaratan di padang Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) 2 di sini yang terletak berhadapan Balai Bomba Bukit Ubi.

Pemilik kedai alat ganti motosikal, Ta Kuan Yew, 40, berkata, semasa kejadian, dia sedang melayan pelanggan di kedainya sebelum terdengar bunyi deruman dan angin kuat dari atas bumbung premis miliknya.

“Panik dengan bunyi deruman dan tiupan angin kuat itu, pelanggan saya bertempiaran lari masuk ke dalam kedai.

“Pada masa sama, lima buah motosikal yang diletakkan di depan kedai saya turut tumbang dan ranting pokok yang berada di depan kedai pula patah,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

“Akibat kejadian itu, saya mendapati atap bumbung kedai rosak dan jatuh di sebelah bangunan ini. Saya percaya ia diterbangkan angin helikopter itu,” katanya.

Seorang pemilik kedai peralatan menjual alatan sembahyang, Ng Ah Noi, 50, berkata, ketika kejadian, dia melihat pekerjanya berlari masuk ke dalam kedai dan terdengar bunyi objek diterbangkan dari atas bumbung premis miliknya.

“Papan tanda perniagaan yang dipasang di kedai saya rosak selepas terjatuh kerana tempias angin kuat pesawat itu,” katanya.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Teruntum, Chang Hong Seong berkata, pihaknya menerima lima aduan daripada pemilik premis perniagaan terbabit yang mendakwa kedai mereka mengalami kerosakan pada bahagian bumbung dan beberapa barang perniagaan.

“Saya sudah memaklumkan perkara ini kepada pihak bomba dan mereka bersedia membayar ganti rugi kepada peniaga terbabit,” katanya.

Kosmo! Online - Negara:

'via Blog this'

No comments: