Pages

Sunday, November 6, 2011

Orphan CARE terima 5 bayi


Oleh Sani Kamarudzaman
sani@bharian.com.my
2011/11/06

PENGASUH pusat Orphan CARE menerima bayi pertama ketika pusat itu baru dibuka beberapa bulan lalu.
PENGASUH pusat Orphan CARE menerima bayi pertama ketika pusat itu baru dibuka beberapa bulan lalu.
Ibu hamil luar nikah sedia serah anak selepas bersalin untuk dijaga

PETALING JAYA: Pertubuhan Kebajikan dan Pengurusan Anak Yatim (Orphan CARE) menerima permohonan lima wanita hamil yang secara sukarela akan menyerahkan bayi mereka kepada organisasi itu selepas bersalin pada bulan ini dan Januari depan.
Kesemua wanita itu mengambil keputusan untuk menyerahkan bayi itu atas alasan hamil di luar ikatan perkahwinan, masalah kewangan serta kerana takut berdepan stigma negatif masyarakat serta keluarga.
Ketika ditemui Berita Minggu semalam, Setiausaha Kerja Orphan CARE, Azra Banu, berkata sehingga kini, hanya tiga kes bayi diletakkan dalam kotak disediakan Pusat Perlindungan Bayi (Baby Hatch) di sini.

“Kami menerima 41 bayi atau purata tiga bayi sebulan sejak penubuhan pusat ini pada 29 Mei tahun lalu. Semua 41 bayi sudah selamat diserahkan kepada keluarga angkat masing-masing.

“Malah kami turut menerima banyak permohonan pengambilan anak angkat. Sambutannya amat menggalakkan sehinggakan ada satu kes yang mana seorang bayi yang dilahirkan tidak sempurna, namun tetap menjadi rebutan tiga pasangan belum memiliki zuriat yang mahu menjadikannya anak angkat mereka,” katanya.

Orphan CARE bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk memudahkan proses pengambilan anak angkat kepada ibu bapa angkat yang sesuai.
Azra berkata, ramai pasangan yang sudah lama berkahwin menghantar permohonan pengambilan anak angkat ke pusat itu dan kini menunggu giliran. Selepas sesi temu duga oleh ahli panel Orphan CARE, pihaknya mengambil kira faktor ekonomi serta kesihatan pasangan dan usia perkahwinan.

“Selepas memadankan bayi dengan keluarga sesuai, khidmat kaunseling dan pemantauan akan dijalankan kepada keluarga angkat selepas proses pengambilan anak angkat yang mengambil masa minimum dua tahun,” katanya.

Orphan CARE berhasrat menambah tiga Baby Hatch dalam dua tahun akan datang di Johor, Kelantan dan Pulau Pinang sebelum ke setiap negeri.

“Baby Hatch adalah laluan alternatif kepada ibu muda yang terdesak dan daripada bayi itu dibuang, Orphan CARE menyediakan satu kediaman transit,” katanya.

Orphan CARE juga dalam perancangan untuk mengadakan ceramah serta program pendidikan secara holistik kepada ibu muda serta seluruh anggota masyarakat.

“Orang ramai boleh melayari www.orphancare.org.my untuk berkongsi idea dan cadangan bagi memperkasakan penubuhan Baby Hatch di seluruh negara,” katanya.
Berita Harian Online | Orphan CARE terima 5 bayi:

'via Blog this'

No comments: