Pages

Sunday, November 6, 2011

Patah kaki hampir 50 kali

BENGKOK... Hashim menunjukkan kaki anaknya yang turut membengkok selepas patah lebih 20 kali.
BENGKOK... Hashim menunjukkan kaki anaknya yang turut membengkok selepas patah lebih 20 kali.
SOKONGAN... Fatihah perlu diawasi jika ingin keluar rumah.
SOKONGAN... Fatihah perlu diawasi jika ingin keluar rumah

KUALA TERENGGANU: Dia gadis pandai tetapi diuji Tuhan dengan sepasang kaki istimewa yang terlalu rapuh hingga patah hampir 50 kali, menyebabkannya tidak lagi boleh berjalan.
Akibat kekurangan itu, Nurul Fatihah Hashim, 16, kini menjadi pemalu dan kurang keyakinan diri, sedangkan dulu dia murid cerdik dengan pencapaian 5A dalam peperiksaan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) dan mengekalkan keputusan baik dalam Penilaian Menengah Rendah (PMR) tahun lalu.

Untuk bergerak, Fatihah terpaksa menggunakan kerusi roda sambil kebiasaannya menyembunyikan kedua-dua kakinya kerana malu dan tidak sanggup diejek rakan sebaya.
Selain Fatihah, dugaan ini sebenarnya turut dikongsi bapanya, Hashim Omar, 53, abangnya, Asrul, 23, dan pasangan kembarnya, Mohd Syafiq, 16, cuma masalah Fatihah paling kronik.

Menurut Mohd Syafiq, kehadiran Aidilfitri atau Aidiladha dalam sejarah hidupnya tidak pernah seceria orang lain kerana mereka tidak boleh bergerak jauh seperti remaja lain, selain hidup serba kekurangan dengan keadaan kakinya yang rapuh.

“Sebenarnya saya sudah biasa begini, dulu ada pelajar sekolah mengejek memanggil kami penyu kerana keadaan kaki dan pergerakan saya seperti reptilia itu.
“Mulanya malu juga namun lama-kelamaan saya tidak peduli, cuma kakak yang masih malu mungkin kerana keadaan kakinya semakin teruk sejak kami membesar.

“Pernah satu ketika, kerusi roda kakak ditarik atau dihentak pelajar nakal menyebabkan kakinya patah, namun selepas insiden itu, kami tidak lagi diganggu kerana mereka takut melihat kesan yang kami tanggung akibat perbuatan mereka,” katanya ketika ditemui Metro Ahad di Perkampungan Orang Kurang Upaya (OKU), Pulau Kerengga, Marang, dekat sini.
Syafiq mewarisi penyakit tulang rapuh daripada Ha- shim, menyebabkan organ kakinya patah tidak kurang 20 kali hanya kerana tersepak tunggul, tersepak kaki sendiri, terhentak, jatuh kerusi roda atau tersilap duduk dan akibatnya betisnya membengkok. Lebih memburukkan keadaan, kulitnya turut sensitif dan luka jika terkena seluar dipakai.

Bagaimanapun, Fatihah mengalami kesan paling teruk apabila kakinya patah hampir 50 kali, menyebabkan kedua-dua kakinya semakin melidi dan membengkok. Dia terpaksa mengengsot untuk bergerak atau berkerusi roda ketika di sekolah.

“Setiap kali patah, kami memerlukan dua hingga tiga bulan untuk kembali pulih dan keadaan itu menyebabkan pembelajaran kami terjejas, biasanya kakak yang sering mengulang kaji pelajaran di rumah, jadi tidak hairan dia mampu menjadi pelajar cemerlang,” katanya.

Syafiq dan Fatihah biasanya menjalani aktiviti bersama, menyebabkan mereka seakan-akan tidak dapat dipisahkan dan ia mungkin kerana perkongsian rahim kira-kira 15 tahun dulu, namun yang membezakan mereka ialah Fatihah kini menjadi semakin pemalu dan kurang keyakinan diri akibat kekurangan dialaminya.

Sebaliknya, Syafiq yang hanya mengalami sindrom itu pada kaki kanan dilihat tetap aktif walaupun pergerakan terbatas kerana masih mampu menggunakan sebelah lagi kakinya untuk bergerak.

Hashim pula berkata, sindrom itu dialami ketika dia berusia belasan tahun dan ia berjangkit pula kepada tiga daripada lapan anaknya.

“Saya bernasib baik kerana kerapuhan tulang saya hanya berlaku dari paras paha ke bawah, menyebabkan organ lain tidak terjejas dan akibatnya doktor menasihatkan kami sekeluarga minum susu khas untuk mengekalkan kekuatan tulang dan bukan untuk menguatkan tulang.

“Dengan bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), saya tidak mampu membelanjakan setin susu RM50 seminggu tetapi bersyukur dengan apa yang diterima kerana ia sedikit sebanyak dapat meringankan beban saya sekeluarga,” katanya.

Katanya, ketiga-tiga anaknya mengalami sindrom tulang rapuh sejak berusia 18 bulan iaitu ketika mula belajar berjalan, sekali gus menjejaskan pembesaran mereka kerana tidak dapat bergerak aktif berikutan risau cedera terlanggar tunggul kayu atau anak tangga.

“Jika tersilap langkah, mereka terpaksa menanggung akibatnya antara dua hingga tiga bulan sementara menunggu kecederaan pulih semula. Fatihah kini menanggung rasa sakit dan malu yang teramat sangat kerana melalui kesan patah sehingga 50 kali, menyebabkan struktur kakinya semakin pipih seolah-olah akar kayu.

“Akibatnya, dia yang semakin meningkat remaja kini menjadi pemalu dengan kekurangan dirinya dan hanya tuhan dapat memahami perasaan kami sekeluarga kerana penyakit dialami tiada penawar,” katanya.

Akibatnya, empat beranak itu terpaksa menyusun langkah berhati-hati setiap hari supaya tulang tidak patah lagi akibat terlanggar objek, manakala Fatihah menggunakan sebiji bantal bagi memudahkannya mengengsot untuk bergerak dalam rumah.

Ketika di luar rumah, hanya kerusi roda menjadi teman dan Fatihah mula kurang bergaul dengan rakan, mungkin disebabkan kekurangan diri.

Hashim berkata, keluarganya menempuhi kesukaran hidup dengan penuh kesabaran dan saling menjaga antara satu sama lain bagi mengelak ditimpa kemalangan.

“Sebenarnya saya bersyukur dengan keadaan ini kerana ada hikmah di sebaliknya. Ia serba sedikit membuktikan kesetiaan isteri, Nurzaimah Husin, 46, yang tetap bersama-sama menghadapi dugaan ini.

“Pengorbanan isteri dan anak sangat bernilai bagi saya, cukup dengan apa yang mereka tanggung, setiap kali Aidiladha, saya memanjat kesyukuran dengan kesanggupan mereka berkorban keinginan untuk hidup senang seperti orang lain.

“Kadangkala saya hampir putus harapan kerana tidak mampu memberikan kelengkapan atau keperluan mewah kepada mereka.

“Namun apakan daya, dengan kudrat yang tidak seberapa, kami sekeluarga masih dapat meneruskan kelangsungan hidup dengan bantuan bulanan RM300 daripada JKM,” katanyamyMetroPatah kaki hampir 50 kali:
'via Blog this'

No comments: