Pages

Sunday, September 11, 2011

Tiada lagi simpati untuk Amerika





2011/09/11

KAHERAH: Satu dekad selepas meraih sokongan besar berikutan tragedi 9/11, Amerika Syarikat kembali menjadi sasaran kemarahan dunia atas dasar antipengganasnya dan pencerobohan di negara Islam. 

Kemarahan kami tidak berkurangan tetapi semakin memuncak berbanding 10 tahun lalu. Saya rasa Amerika memulakan semua peperangan ini untuk mengalih perhatian rakyat daripada masalah dalaman mereka. Semua orang tahu hal ini, kata graduan universiti di Beijing, Luo Ruxi kepada akhbar Washington Post.
Kenyataan Ruxi menunjukkan sentimen anti-Amerika kian menebal di beberapa negara.
Pentadbiran Presiden George W Bush, mengarahkan pencerobohan ke atas Afghanistan pada 2001 untuk menggulingkan rejim Taliban dan sekutunya al-Qaeda yang mendakwa mendalangi 9/11. 

Dua tahun kemudian, Amerika menceroboh Iraq atas dakwaan menyimpan senjata pemusnah besar dan mempunyai kaitan dengan al-Qaeda, dua tuduhan yang terbukti tidak berasas. 

Washington mula menyeksa suspek keganasan, menahan sesiapa saja yang disyaki dan memenjarakan mereka di Guantanamo, Iraq dan Afghanistan. 

Namun, pencerobohan ke atas dua buah negara Islam dan dasar luar Amerika mula mengurangkan simpati dunia terhadap Washington. 
Mereka sepatutnya mengebom Rumah Putih dan bukan Pusat Dagangan Dunia, kata penerbit filem, Zhang Linna, 25, yang masih menuntut di sekolah menengah pada 2001. 

Kajian Pusat Penyelidikan Pew mendapati, perasaan benci terhadap Amerika begitu meluap di kalangan rakyat Mesir dan Pakistan. 

Pelbagai pihak berharap Amerika lebih memahami dunia luar selepas serangan 9/11, malangnya tiada tanda ia akan menjadi kenyataan. Antara yang mengharapkan perubahan ialah Douglas Sidialo dari Kenya. 

Dia hilang kerja sebagai eksekutif pemasaran selepas buta akibat terkena serpihan kaca dan peluru dalam letupan di kedutaan Amerika di Nairobi pada 1998. 

Apa yang kita bayangkan ialah rakyat Amerika akan mempunyai perasaan lebih simpati, lebih prihatin untuk menyokong mangsa di Kenya yang terpaksa hidup miskin, mengalami masalah kewangan dan trauma. Namun, walaupun sudah 10 tahun berlalu, masih tiada perubahan, katanya. 

Walaupun Amerika menyumbangkan jutaan dolar kepada Kenya dan negara Afrika untuk menentang keganasan, ia kurang membantu menangani kemiskinan di negara terbabit. 

Nasib sama dihadapi Mohabeb Khan, pendatang Afghanistan yang berhijrah ke Pakistan untuk lari daripada Taliban. 

Dia yang bekerja sebagai tukang jam kembali ke Afghanistan selepas Amerika menceroboh negara itu dengan harapan dapat memperbaiki kehidupan keluarganya. 

Namun 10 tahun kemudian Khan amat menyesali keputusannya kembali ke Afghanistan apabila anak lelakinya yang bekerja sebagai penterjemah dengan tentera Amerika terbunuh dalam serangan bom pada 2009. 

Amerika tidak tahu buat baik dengan orang lain. Kami buat kesilapan paling besar pulang ke Afghanistan, katanya. - Agensi 

No comments: