Pages

Sunday, September 11, 2011

Dana haram biayai Bollywood





2011/09/11

MUMBAI: Bollywood mengalu-alukan pembiayaan daripada kumpulan samseng dan ahli politik, dikenali di India sebagai wang haram, lapor laman web akhbar tempatan di sini memetik kabel diplomatik Amerika Syarikat yang dibocorkan WikiLeaks baru-baru ini. 

Meskipun kabel itu tidak merujuk secara langsung kepada penjenayah terkenal Dawood Ibrahim, yang dituduh membiayai sejumlah filem tempatan, industri Bollywood masih dikaitkan dengan kumpulan samseng Mumbai yang digeruni.
Web akhbar berkenaan melaporkan, Jehil Thakkar, ketua media dan hiburan untuk KPMG, sebuah firma profesional menyediakan audit dan nasihat cukai, berkata pembiayaan itu berpunca daripada keperluan kewangan industri berkenaan.
Sehingga 2000, industri filem Bollywood tidak layak memohon pinjaman bank, ekuiti persendirian dan sumber kewangan komersial sah. 

Akibatnya, filem dibiayai dengan dana segera pelabur, kebanyakannya daripada industri pembinaan dan perdagangan, yang mengenakan kadar faedah setinggi 60 hingga 100 peratus. 

Kabel diplomatik itu adalah dari Konsulat Amerika di sini yang disiarkan WikiLeaks juga menyatakan: Industri filem tempatan juga mengalu-alukan dana daripada kumpulan samseng dan ahli politik, kerana mereka mencari jalan untuk menggubah wang haram. 

Satu artikel dalam majalah Time menyatakan seorang ketua samseng Abu Salem memanggil wartawan India dan mendedahkan beliau membiayai filem Devdas yang dibintangi Shahrukh Khan, yang dikatakan filem paling mahal ketika itu. 
Menurut Time, Chota Shakeel, seorang lagi bos besar samseng, adalah rakan dengan pelakon lain, pengarah dan produser. Shakeel, yang mana polis tempatan mendakwa memiliki rakaman 71 pita panggilan telefon, menyimpan nama Sanjay Dutt, 

Aktor itu mempunyai sejarah masa lampau sebagai penagih dadah, gemarkan senjata api dan disyaki ada kaitan dengan beberapa siri letupan di Mumbai pada 1993. 

Tidak hairanlah aktor dan orang seni perfileman tempatan terpaksa dilindungi pihak berkuasa. Pelakon Hrithik Roshan, Govinda, Amrish Puri dan pengarah, Karan Johar diberi perlindungan bersenjata polis selepas menerima ancaman bunuh daripada samseng. 

Superstar Aamir Khan dan pengarah Ashutosh Gowariker mendapat panggilan ancaman daripada samseng kerana mereka menolak tawaran samseng selepas kejayaan besar filem dicalonkan Oscar, Lagaan. 

Shahrukh Khan juga membuat aduan dengan polis bandar dan Skuad Antipengganas (ATS) selepas menerima panggilan daripada samseng Bunty Pandey, yang menuntut sejumlah wang 2 bilion rupee (RM129.44 juta), lapor Time. 

Selepas kerajaan menambah industri filem dalam senarai industri sah, penswastaan Bollywood, dan industri meluas hiburan, bermula, kata kabel diplomatik itu. - Agensi 

No comments: